Daily Archives: January 17, 2012
Budak
Ketika itu aku suspek H1N1 dan dipantau oleh sekumpulan ahli Jabatan Kesihatan Daerah untuk membuat pemeriksaan kesihatan setiap hari. Aku dikuarantin dan diletakkan di dalam sebuah bilik khas. Seorang diri.
Oleh sebab aku seorang diri di dalam bilik tersebut, dan yang lain-lain pula diletakkan di bilik lain bersama, maka mereka terlepas pandang untuk memeriksa keadaan terkini aku.
Setelah empat hari terbaring dan demam tak juga kebah-kebah, dengan aku terlepas lagi sesi pemeriksaan untuk kali ketiganya, jadi aku pun beranikan diri untuk pergi ke dewan peperiksaan yang dijadikan dewan pemeriksaan kesihatan bagi bukan suspek H1N1.
Aku pun dengan terhoyong-hayangnya menggagahkan kaki untuk ke dewan itu. Aku pakai seluar slack berwarna hitam, berkemeja-T warna maroon lengan pendek dan memakai topeng muka.
Sebaik aku melangkahkan kaki ke dalam dewan itu, aku pun dengan selamba memotong barisan (perasan ada autoriti…hahaha) dan terus pergi ke arah seorang nurse yang putih melepak bak buah kundur.
“Nurse, saya nak cek kesihatan terkini saya”, kataku.
“Oh, sila masukkan termotemer ni ke dalam mulut awak.”
“Saya sebenarnya dah 4 hari suspek H1N1, tapi tidak dilakukan pemeriksaan berkala macam yang lain-lain”, ramahku lagi.
“HAAAAHHHH, ko dah 4 hari suspek? Kenapa ko keluar dari tempat kuarantin?! Ko pergi masuk balik sekarang jugak!”
Gulp.
Aku pun dengan pasrahnya terus saja berlalu pergi meninggalkan anak-anak murid aku yang tersengih-sengih menahan gelak, dan mungkin juga cuak sebab cikgu diorang kena tengking sesedap rasa dengan kakak nurse tadi.
“Kakak, itu ustaz kamilah.” kata satu suara ayu di situ. Aku kenal siapa (teet).
Dari kejauhan aku dapat melihat wajah kakak nurse itu bertukar menjadi warna buah pulasan yang terlebih ranum.
p/s: Kemeja T yang aku pakai tu pulak siap ada lencana sekolah. Baju outing budak-budak ni aku pakai. ahaha
______________________________________________________________
Tengah dok sibuk-sibuk mencari bos aku kat dalam surau tu, aku ditegur oleh seseorang.
“Adik, esok nak ambil anugerah ke. Pelajar cemerlang SMA ke SPM?”, dengan yakinnya beliau bertanya.
(nota: SMA 16 tahun dan SPM 17 tahun.)
“Eh, taklah. Saya datang sini ikut bos je.”
“Oh, ikut bos. Bos (abah) awak cikgu sekolah mana?”
“Bos (guru besar) saya cikgu SMA Rompin.”
“Aik, bukan dia mamak ke. Takda rupa mamak pun awak ni?”
“Erkk.”
Esoknya, ketika menghadiri perhimpunan guru-guru SMA seluruh negeri Pahang di daerah Pekan, aku pun terserempak lagi dengan beliau.
“Eh, awak ni masuk juga ke mesyuarat ni?”
“Saya pun cikgu juga ustaz.”
______________________________________________________________
Malam tu tengah aku dok sibuk-sibuk meneliti fail JUJ untuk subjek Insya’ dan Mutalaah SMA, aku pun dipanggil oleh penceramah undangan. Aku pakai baju melayu kaler merah tak nak kalah, dengan kain pelekat.
“Eh, awak letak jelah fail JUJ tu atas meja ustaz awak. Fail tu sulit. Tak payah nak tengok-tengok.”
“Oh, ……”
“Ustaz awak ni pun ke mana, tak sampai-sampai lagi ni. Sepatutnya dia yang tunggu saya, bukan saya yang kena tunggu dia!”
“Oh, ……”
“Takpe, saya nak call dia kejap.” getusnya.
“Saya ni kena ganti ustaz Rahim tu sebab dia kata ada hal. Kalau dia sempat baru dia boleh datang.” jawabku lancar.
p/s: Maka sepanjang malam tu aku adalah Azim, pelajar tingkatan 5 yang jadi emcee, teman dia minum malam dan bagi cenderamata untuk dia.
Masa nak balik tu, dia pesan “Cakap kat ustaz awak tu, lain kali komitedlah sikit, dah janji ada program, ketepikanlah dulu hal-hal lain. Nanti awak nak terang apa kat budak-budak SMA tu? Kalau nak diikutkan saya ni lagilah, datang dari nun, Temerloh tu.”
______________________________________________________________
Tak tahulah sekarang ni masih kelihatan ke’budak-hingusan’ begitu lagi ke tak. ahaha
Haiiiihhh.