Karya 3: Rencana Darul Nadwah
Kali ini aku nak berkongsi dengan puisi ketiga yang dihantar ke grup untuk penilaian GKLN.
Puisi ini terhasil kalau tak silap aku sempena dengan Maal Hijrah.
Selamat menukang karya.
Rencana Darul Nadwah.
Hari itu engkau,
terendus tengiknya rencana Quraisy
licik suara dari Darul Nadwah
mencadang seratus satu rancang
mencanang seribu satu tualang.
“Ah, baik dibunuh sahaja”, Abu Al-Hakam mencelah
memecah buntu yang tak sudah, seraya
gegaklah separlimen mengia dia.
Bersorak, bersorai syaitan An-Najdi,
menang.
Malam itu,
jerkah si serakah meruah resah
mahu dicincang Ibn Abdullah
bersebelas khalifah diupah dikerah
memancut darah sang kekasih Allah.
Kau pula terdera, jera
sedari pamanmu meniup murka
mujur, arah Tuhan megusir ragu
menitip wahyu matikan buntu
kauserak pasir, kaupacak sadda
terpukau, tersirna semua.
Kau menapak jeda, bersahaja
sedang carik Hadrami selimut Ali
buat galang kau berpergi.
Syukur aku Tuhan!
Darul Nadwah itu, tercerna kini
lumat dihadam rencana sendiri.
Dakwat Fikir
14 Mac 2008, 0541
Full House
Ini komen daripada Fahd Razy:
Salam
Abd Rahim…nanti kalau ada masa, kongsilah lagi apa-apa yang dirasakan relevan tentang penulisan Bahasa Arab. Juga ahli-ahli GKLN yang lain, yang ambil sastera bahasa arab dsb. Saya teringin juga nak tahu. ‘Curious’. Selalu juga bahasa karya-karya terjemahan Bahasa Arab ni, tapi tak tahu macam mana nak menilainya. Adakah sama macam karya Bahasa Melayu dan Inggeris, ada metafora, hiperbola, dsb? Adakah teori-teorinya sama seperti dalam sastera melayu? Dulu masa belajar BA kat sekolah selalu tidur…haih. (kan dah menyesal.
).
Maaf, intro tak berkaitan. Ok. Bila baca tajuk emelnya, ‘Rencana Darul Nadwah’ saya ingat ini satu artikel…rupanya tajuk sajak. Tak apa. Tak jadi masalah. Saya suka cara sirah ini diketengahkan. Sangat suka. Maksudnya, teknik yang digunakan oleh Abd Rahim untuk membawa kisah ini ke dalam puisi. Apatah lagi dapat dipadatkan dalam bentuk puisi yang pendek, tetapi jelas jalan kisahnya. Tahniah. Cuma seperti puisi Al Fannani sebelum ini, masih perlu memperlokkan pemilihan perkataan. Boleh baca kembali tips yang saya berikan tentang memasukkan perkataan bombastik, arab, dan sebagainya yang sedikit asing kepada pembaca ramai. Kena hati-hati juga. Mungkin puisi anda baik, tetapi kerana hal (remeh) seperti ini membuatkan editor rasa ragu-ragu nak siarkan karya anda.
Juga saya suka, apabila sdr Abdul Rahim bermain dengan rima. Sedap dibaca, sedap didengar.
Cadangan: cuba hantarkan ke Tunas Cipta. Saya doakan berjaya. InsyaAllah
Fahd Razy
Uppr Rathmines Rd
Posted on February 18, 2012, in Uncategorized. Bookmark the permalink. Leave a Comment.
Leave a Comment
Comments (0)