Karya 8: Tak Bertajuk

Karya kali ini adalah satu puisi yang berbentuk apresiasi kepada insan yang pernah, atau masih, memberi warna dalam kehidupan seharian kita.

Kadang-kadang kita tak mampu nak bercakap secara berdepan apresiasi tersebut, jadi mungkin ini alternatif yang ada, walaupun sedikit konvensional tapi efektif untuk mengungkapkannya dalam bentuk tulisan kompak.

Aku tulis puisi ini lama dahulu, dedikasi khas buat seorang sahabat yang pernah aku akrabi sejak bertahun-tahun, sempena ulang tahun kelahirannya dulu.

Oleh sebab ulang tahun kelahiran aku pun baru je lepas, jadinya aku persembahkan pulak kepada pembaca semua puisi ini. hoho

__________________________

Ingin kusuluh kau dengan siang
tika malammu membutakan pedoman
agar langkahmu tetap aman.

.
Inginku kupasangkan kau pelita
tika kecamukmu memadam asa
agar kau tak malap melara.
Inginku hembuskan semboyan inspirasi
kala medan ini seakan menguji
dengan amarah diri – agar ia
gagal menggugah gagah.

.

Inginku binakan kau sebuah gunung
dari batuan senyum dan murung
agar nanti bila girangmu terancam
uzlah kau ke sana mencari tenteram.

.
Juga aku,
ingin bungkuskan kau seratus warna pelangi
agar dapat kauhitung lapisan kegirangannya
buat mengusir lara
yang memunahkan kesentosaanmu.

.

Dalam keterbatasan ini kuakur
aku hanyalah seorang pelajar
yang hanya mula bertatih
mengenal kilauan siang,
menyala sumbu pelita,
meniup runcing semboyan,
mencangkul pasak gunung,
mengira warna pelangi.

.

Apa kata
kau tunjukkan aku
apa itu seruan sabar Khidir
tatkala terburunya Musa
dalam mengejar hikmah.
Juga tunjukkan aku santun Muhammad
tatkala gasarnya Abu Jahal
dalam menolak hidayah.

.

Dakwat Fikir
2.18, 19012009
Full House.

Karya 7: Bingkai Hidup

Puisi ini tersiar di majalah Tunas Cipta Disember 2008
.
Bingkai Hidup
(saat sakaratul maut menjemput)

Kita menyorot kaku
bingkai riwayat mereka, kagum
menghidu cat-cat tabah yang
menggarap kanvas kehidupan.

Kita meruntun layu
bila Izrail menurut titah al-Mumit,
mampir menuntut kembali lukisan pinjaman
yang dulunya dibuat pameran.

Kita meratap sayu
bila disentap ruh kaca itu
pohon benar dilunak dia!
Sedari kitalah yang kan tertewas
andai terketai ia di lantai waras
lantas merasuk rajuk yang tak terbujuk.

Dakwat Fikir
13 September 2008, 15.05,
Beanntrai, Ireland.
.
Puisi ini aku dedikasikan untuk engkau. Engkau yang kehilangan dan berhak untuk menangisinya.
.
Namun engkau juga berhak untuk berhenti menangisi dan tidak lagi mati.
.
Engkau, aku menulis untuk engkau.

Karya 6: Stanza Melankolia di Marga Hampa

Puisi ini tersiar dalam Antologi Bahasa Bumi.

Stanza Melankolia di Marga Hampa
( Amarah buat sang pengingkar janji, Zionis )

Truce katamu lewat semalam
bukan sekali, berkali-kali
satah kita patut sematra, telap
ukir inskripsi di provinsi hati, serasi.

Bukan aku dangkal
tahu benar kau cuma mengakal.
Kau bawa watak Tuhan, kononnya
demi survival.
Sedang kau sendiri
sembelih aku tak berdarah.
Membadut kepala-kepala aku, punah.
Melaga sayap-sayap aku, patah.

Berpaut denganmu
aku melayah di dermaga rapuh
reput, takut nak mengesot
kalau-kalau nanti terjelepok
langsung terperosok ke ceruk lubuk.

Konkordans sarat ini muntah lagi
loya dek pering bau puraan itu.
Cukuplah!
Aku bukan lagi si penyembah
tunduk segala tanpa sanggah.

09 Mei 2008, 0803,
Full House.
Dakwat Fikir.

Graduasi

Aku ada kisah menarik sebenarnya berkaitan dengan graduasi ni. Tahun lepas aku terlepas majlis graduasi sendiri sebab terlepas kapal terbang! ahaha

2 kali pulak tuh!

Masa tu aku berada di London, majlis hari Ahad dan flight hari Khamis. Lepas tu hari Jumaat pun terlepas juga.

Oklah, aku taknak bercerita kisah graduasi sendiri yang menyebabkan aku terpaksa photoshoot sorang-sorang tu, cuma nak berkongsi kegembiraan kawan-kawan yang berjaya menamatkan pengajian mereka di bumi Morocco ini.

Tahniah buat kalian. Moga Allah memberkati ilmu dan beroleh manfaat daripada proses pencarian ilmu di sini.

Sedikit gambar sebagai tukang cerita.

Kunjungan II

Sambungan daripada gambar kunjungan kakak aku ke sini, di sini aku nak kongsikan pula video mereka.

Video ini dibuat oleh mereka dan sekitar Fes sahaja.

Insya-Allah yang lain menyusul nanti.

Terima kasih.

Sekadar berkongsi satu video tentang Palestin.

Selamat menonton.

Karya 5: Azimat Seru

Puisi ini adalah puisi yang aku tulis untuk dihantar pada pertandingan Sayembara Puisi Maghribi 2008 (SEMPURI 2008). Tapi kalah, dan antara komen juri adalah penggunaan perkataan arab yang terlalu banyak menipiskan peluang untuk menang. Apparently, puisi yang menang tu pun memang superb!

Jadi, puisi ini tiada komentar sebab tak dihantar di grup.

Selamat menukang karya!

.

Puisi ini telah tersiar di akhbar Berita Harian bertarikh 20 September 2008.

Azimat Seru
 
Fikir itu membawa aku ke satu jazirah
langsung ke sudut itu, Bakkah.
Betapa lembang itu gersang dulu
kering, berkuping-kuping
saat rekah umat bagai takkan ketemu
noktah aman kian kelabu.
 
Namun kaurenjis jua liurmu
kendati kian likat, kelat
buat damak-damak hidayah
menusuk liat ke lurah hati
yang gelap nan pekat.
 
Kaukikis kudis kepuakan, lantas
kausapu penawar  syahadah
di atas tali Muhajirin dan Ansar
beralaskan sutera ukhuwah.
 
Pernah,
kauratip sendu kasihnya Ilah,
kauratap sayu hilangnya Khadijah,
kautatap kaku syahidnya Hamzah,
kaurentap ego pamanmu turus Jahiliah.
 
Kini laungan yang kauserak
mencakah seinci demi seinci
hingga terendus aku haruman itu
jauh di khatulistiwa ini
dek gaharu azimat serumu.
 
Oleh Dakwat Fikir
14 Mac 2008, 08.40,
Bouhlal, Rabat.

Kunjungan

Menerima kunjungan keluarga di sini sudah pasti menjadi satu perkara yang mengujakan. Baru-baru ini aku dikunjungi keluarga kakak aku seramai lima orang selama tujuh hari.

Kami berkelana bermula di Fes dan diakhiri Marrakesh.

Aku taknak cerita panjang, tengok gambar sajalah.

Terima kasih.

FEZ

Kerap

Dulu masa aku belajar di sebuah sekolah di Terengganu, aku selalu dengar ayat ini; “Hari-hari mau cakap dakwah, supaya Islam tu masuk dalam hati. Dakwah infiradi dan jama’ie.”

Maka kami pun dibahagi dalam beberapa kumpulan, dan perlu bercakap tentang kebesaran Allah sebelum bersurai untuk balik asrama.

Pesan ustaz lagi, kalau nak dapat sifat tawaduk, pergi bersihkan jamban (atau tempat yang kotor2) untuk menyedarkan diri siapa sangat kita ini, mungkin lebih busuk daripada apa yang kita bersihkan itu.

Encik Hitler pernah cakap, satu-satu perkara kalau disebut selalu, walaupun perkara itu salah, lama kelamaan orang akan percaya juga. Propaganda.

_______________________________________________________________________

Sedikit analisis tentang apa yang kita paling kerap berbicara waktu ini.

Ini mungkin apa yang aku sahaja alami.

Aku cek balik YM dengan kawan-kawan, bab wajib yang akan ada ialah bab kahwin! ahaha

Anda bagaimana?

Kesannya, ada orang yang tak fikir lagi jadi rimas. Atau akan ‘terpaksa’ untuk mula berfikir tentangnya. Atau mula cemas sebab belum menapak ke arah itu. Atau rasa tak laku sebab belum ditaqdim.

Akhirnya ramai pergi ke situ dengan level dan kefahaman yang pelbagai.

Kefahaman yang paling ideal dan universal, kahwin itu fitrah.

Fitrah.

Apa fitrah terbesar kita?

Agama.

Tapi, kahwin sebahagian daripada agama kan.

Hanya jika kita bicara daripada perspektifnya.

Sekurang-kurangnya satu kitab fekah dah kita hadam bab ini. Bukan sekadar guna istilah arab, maka Islamiklah kita. Sama ada dengan mentaqdim (confession) atau  guna perantaraan bait muslim (agen cari jodoh) maka bukan itu penyebab untuk kita berdiam diri daripada mendalami ilmu tentangnya.

_______________________________________________________________________

Dalam perihal galakan (galakan, bukan kewajipan yang qat3ie) untuk pemuda berkahwin pada hadith “ya ma3syara as-shabab” ada juga disebut perihal pemuda yang dikagumi, yang mana kalau kita nampak pemuda yang datang dari serata alam, menekuni ilmu agama, maka perlulah kita meminta nasihat yang baik daripada mereka.

Mungkin galakan yang kedua itu lebih lazat buat pemuda yang sibuk bercinta dengan ilmu.

_______________________________________________________________________

Jom kita kira balik perbualan harian kita, berapa banyak tentang agama berbanding apa-apa yang kita gemari, kerana perkara itulah yang bakal menghuni hati kita.

Cakap agama tapi tak buat, celaka besar di sisi Allah (As-saf:3).

Faham agama, tapi tak cakap, boleh jadi syaitan bisu atau ulamak su’.

Tak faham agama, tapi buat, bakal taqlid buta malah cenderung ke arah bidaah. Nilai ibadah 1000 kali ganda lebih rendah berbanding orang yang faham agama.

Seorang yang berilmu solat dan mengajar ilmunya kepada orang lain, berbanding ahli ibadah yang siangnya puasa dan sepanjang malamnya beribadat – seperti Nabi s.a.w berbanding sahabatnya yang paling rendah martabatnya.

Maka, ada pilihankah kita?

Tak belajar agama kang, dapat dua dosa. Dosa membiarkan diri dalam kejahilan dan juga dosa melanggar perintah atau larangan-Nya atas kejahilan itu.

Belajar kang, dipertanggungjawabkan pula. Kena sampaikan, kena ajak, kena ajar, kena sabar dengan reaksi impulsif manusia, bukan boleh duduk sorang-sorang buat ibadat sendiri-sendiri.

Last-last, kalau tahu sengaja diam sebab takut bakal dipertanggungjawabkan dengan apa yang dicakapkan. Jadi bolehlah berlepas tangan daripada status orang faham agama.

Kalau boleh gelaran ustaz tu pun kena dielakkan, macam jaki ada, macam tak layak pun ada, tapi apa-apa pun takut nanti manusia menilai bukan dengan kaca mata biasa, tapi dengan kanta mata.

Lebih bimbangkan pandangan manusia, walaupun ada asasnya kita dan mereka berpersepsi begitu.

Kalau seorang doktor diperlukan menjaga etika kedoktorannya demi maslahah bidang itu, atau seorang wartawan perlu menjaga etika kewartawanan untuk meslahah bidang itu, maka tidak pula mereka dan kita persoalkan.

Tapi, bila seorang ustaz itu diperlukan menjaga etika (adab atau simat) keustazannya, maka bukan setakat orang luar yang bising, bahkan dalam kalangan mereka pun tak mahu terikat dengan etika-etika tersebut.

_______________________________________________________________________

Ilmu tu ada tiga tangga, pertama kita akan berbangga-bangga dengannya. Kedua, kita akan menjadi tawaduk kerananya, dan yang ketiga kita hanya mampu berkata aku tak tahu!.

Kita, mungkin belum lagi bermula pun naik tangga itu.

ٍSebab tu ulamak yang tulis Wallahu a3lam di akhir tulisan kitab mereka.

Karya 4: Melukut Di Kubah Durjana

Puisi ini telah tersiar di Majalah Tunas Cipta.

Melukut di Kubah Durjana

Kubah itu paginya nirmala
hangat mendakap anak naungan
duduk mereka dihampar mengkuang
dahaga mereka kopi dihidang
berpada, tapi ada.

Di mimbar itu kau,
mengalun khutbah jasa buat sejagat
lantas menuntut kesatuan sarwa jelata.
Ya, di mimbar itu!

Pabila terik, kubah itu
berdendang pula zikir hemat ke sepelosok saf
kipas usang perlu dimatikan, membazir!
Ironinya,
rengekan kudus si anak lantas diwarta
seakan hingar beburung
kala menjambatani kepalamu;
sudahlah sepatah izin pun tiada,
menajis pula ke serata muka.

Sekalian kau hanya memboyot harta
saat kuasa menggendut di persada.
Kau hanya tahu mencongak langit
tidak mahu menuntun bumi,
bimbang terburai perut duniawi
walau hampir sudah ia
terlimpah di tubir bibir.

Di noktah hari ini aku ternanti-nanti
adakah esok terhias buaian wahyu
agar kau segera mendodoi aku,
kerana akulah si anak itu.

Dakwat Fikir
06 Julai 2008, 0329
Teratak Bonda

.

Proses Kreatif: Proses menulis secara mentah aku lakukan dalam tren sebenarnya, tatkala kemarahan terhadap ketua kami ketika itu yang membantai aktiviti kami di sini. ahaha, kiranya ini puisi anti-established yang sedikit melebih-lebih.

Komen Fahd Razy:

Waalaikumusalam

Mula-mula, sementara teringat ni…satu tips. Kalau boleh, cuba
elakkan guna ‘Sang’ atau ‘Si’ dalam puisi. Kalau boleh lah. Ini dari
bacaan saya lah, penulis lain mungkin berbeza pendapat. Bunyinya agak
klise, dan tak puitis. Terutamanya kalau puisi moden. Contoh, Sang
Matahari. Sang Angin. Si ibu. Dan sebagainya. Juga lewah, sebenarnya.
Ini secara umum ya, bukan khusus utk sajak ini atau mana-mana sajak.

Ok, berbalik kepada sajak. Saya suka permainan bahasanya. Cuma dalam
beberapa ketika, atau beberapa bahagian terasa penulis terlalu
memberatkannya dengan perkataan-perkataan yang janggal. Tak mengapa
memasukkan perkataan-perkataan sebegitu, bahkan saya mengesyorkan.
Tetapi perlu berpada-pada supaya tidak mengganggu. Terutamanya dari
segi kelancaran bacaan. Sila rujuk emel saya sebelum ini yang mengulas
puisi Siddiq Osman tentang keterletakan rima. Ahah…Kali ini kita
masuk bab baru pula…Asyik- asyik bab ‘klise’ dan ‘tanda baca’ saja,
kan? (Nasib baik tanda baca yang ini lulus, tahniah! ) Satu petua,
kebanyakan perkataan-perkataan yang jarang diguna, walaupun bukan
bombastik sangat pun, bunyinya memang agak kasar dari segi sebutan
(bukan kasar makna). Mungkin, sebab tulah, perkataan2 ni
jarang/janggal diguna. Tapi tak semua perkataan begitu. Jadi kena
pandai susun, dan pilih.

Rangkap 4 sangat baik. Saya suka.

Abd Rahim, jangan lupa hantar ke media. Kamu antara ahli2 GKLN yang
saya tunggu karyanya di media cetak…potensinya besar. Termasuklah
orang morocco lain, Ainaa, Alfanani, Khadijah, Alimmujahid, dll.
(lagipun orang Morocco tak ada yang tembus suratkhabar lagi,
kan…padahal tu lubuk ahli GKLN yang berbakat belaka)