Monthly Archives: February 2012

Lelaki

Orang kata lelaki ni tak pernah ada jawapan akhir. Kalau hari ini kita kata tidak, esok lusa bukan perkara yang mengejutkan kalau kita mengiakannya.

Dalam banyak situasi kita dipengaruhi oleh orang sekeliling kita. Siapa yang kita percaya, bagaimana kita proses satu-satu kepercayaan itu dalam mengakui atau menidakkannya.

Oleh itu, penting bagi seorang lelaki itu mempunyai teman sekeliling yang benar-benar betul dan cerah pandangannya terhadap satu-satu perkara.

Kecerahan yang hadir daripada cahaya ilmu.

Bukan dengan kata-kata orang, pengalaman mereka dan nasihat-nasihat melainkan yang bersepadan dengan kecerahan ilmu tersebut.

Sedang kepastian itu adalah milik Yang Maha Memiliki Kepastian.

SEJENAK

Remaja sering dikaitkan dengan kegopohannya, dan kegopohan itu sememangnya daripada syaitan. Akan tetapi remaja juga dikaitkan dengan kemampuan untuk merubah suasana zaman atas keberaniannya bertindak (namun tetap atas saran wahyu).

Jadi, sebagai seorang lelaki yang tak pernah punya kata putus, apa pilihan yang kita ada?

Kita punya doa yang diajar Nabi s.a.w kepada Fatimah r.a:

يا حي يا قيوم برحمتك أستغيث أصلح لي شأني كله ولا تكلني إلى نفسي طرفة عين

“Wahai yang Maha Hidup dan Maha Kuasa, dengan rahmat-Mu aku meminta, Kau baikilah urusanku, dan jangan Kau letakkan keputusan urusanku ke atas diriku walau sekelip mata.”

*Doa ini bukanlah saat memilih antara yang benar atau salah (syar’ie), akan tetapi dalam ihtimal antara dua kebenaran.

______________________________________________________________

Begitulah kehidupan ‘melayan’ isinya (kita) dengan unfinished businesses yang perlu kita lepaskan dan berlalu pergi, atau bakal kita ulangi andai tak berhati-hati melaluinya sekali lagi.

Mungkin kita hari ini bukan siapa-siapa  di mata manusia, dibenci malah diperlekeh dan kita hanya mampu tersungkur. Hidup yang tak diperlukan dan mati yang dilupakan.

Namun andai itulah harga untuk sebuah ketundukan kepada Tuhan, aku mohon agar disungkurkan lagi dan lagi agar aku belajar malu untuk mengangkat muka, mengharap pada manusia dan hanya menghadap-Mu.

Namun masih berbaloikah akhirnya di mata Tuhan?

Apakah pernah ada satu perjuangan yang nilainya berbaloi di mata Tuhan untuk aku buktikan?

Sedang kita perlu bersungguh-sungguh melalui fasa ini untuk berpindah ke fasa sebenar kehidupan kita.

اللهم لا عيش إلا عيش الآخرة

“Ya Allah, sesungguhnya tiadalah kehidupan sebenar melainkan kehidupan di akhirat”

Dan tidak menjadikan diri kita golongan kelima (atau golongan keempat dalam matan yang lain) yang binasa.

Moga Allah bantu kita merezekikan kefahaman agama dengan betul.

Karya 3: Rencana Darul Nadwah

Kali ini aku nak berkongsi dengan puisi ketiga yang dihantar ke grup untuk penilaian GKLN.

Puisi ini terhasil kalau tak silap aku sempena dengan Maal Hijrah.

Selamat menukang karya.

 

Rencana Darul Nadwah.

 

 

Hari itu engkau,
terendus tengiknya rencana Quraisy
licik suara dari Darul Nadwah
mencadang seratus satu rancang
mencanang seribu satu tualang.

 

“Ah, baik dibunuh sahaja”, Abu Al-Hakam mencelah
memecah buntu yang tak sudah, seraya
gegaklah separlimen mengia dia.
Bersorak, bersorai syaitan An-Najdi,

menang.

 

Malam itu,
jerkah si serakah meruah resah
mahu dicincang Ibn Abdullah
bersebelas khalifah diupah dikerah
memancut darah sang kekasih Allah.

 

Kau pula terdera, jera
sedari pamanmu meniup murka
mujur, arah Tuhan megusir ragu
menitip wahyu matikan buntu
kauserak pasir, kaupacak sadda
terpukau, tersirna semua.
Kau menapak jeda, bersahaja
sedang carik Hadrami selimut Ali
buat galang kau berpergi.

 

Syukur aku Tuhan!
Darul Nadwah itu, tercerna kini
lumat dihadam rencana sendiri.

 

 

 

Dakwat Fikir
14 Mac 2008, 0541
Full House

 

Ini komen daripada Fahd Razy:

Salam

Abd Rahim…nanti kalau ada masa, kongsilah lagi apa-apa yang dirasakan relevan tentang penulisan Bahasa Arab. Juga ahli-ahli GKLN yang lain, yang ambil sastera bahasa arab dsb. Saya teringin juga nak tahu. ‘Curious’. Selalu juga bahasa karya-karya terjemahan Bahasa Arab ni, tapi tak tahu macam mana nak menilainya. Adakah sama macam karya Bahasa Melayu dan Inggeris, ada metafora, hiperbola, dsb? Adakah teori-teorinya sama seperti dalam sastera melayu? Dulu masa belajar BA kat sekolah selalu tidur…haih. (kan dah menyesal.).

Maaf, intro tak berkaitan. Ok. Bila baca tajuk emelnya, ‘Rencana Darul Nadwah’ saya ingat ini satu artikel…rupanya tajuk sajak. Tak apa. Tak jadi masalah. Saya suka cara sirah ini diketengahkan. Sangat suka. Maksudnya, teknik yang digunakan oleh Abd Rahim untuk membawa kisah ini ke dalam puisi. Apatah lagi dapat dipadatkan dalam bentuk puisi yang pendek, tetapi jelas jalan kisahnya. Tahniah. Cuma seperti puisi Al Fannani sebelum ini, masih perlu memperlokkan pemilihan perkataan. Boleh baca kembali tips yang saya berikan tentang memasukkan perkataan bombastik, arab, dan sebagainya yang sedikit asing kepada pembaca ramai. Kena hati-hati juga. Mungkin puisi anda baik, tetapi kerana hal (remeh) seperti ini membuatkan editor rasa ragu-ragu nak siarkan karya anda.

Juga saya suka, apabila sdr Abdul Rahim bermain dengan rima. Sedap dibaca, sedap didengar.

Cadangan: cuba hantarkan ke Tunas Cipta. Saya doakan berjaya. InsyaAllah

Fahd Razy
Uppr Rathmines Rd

Folklore

Baru-baru ini aku berpeluang mengikuti program rentas budaya antara pelajar Malaysia dan Maghribi di Mehdiah, Kenitra. Program ini lebih kepada pengenalan tentang Persatuan Bulan Sabit Merah Maghribi dan Persatuan Dar Shabab (Kelab Remaja) yang menjalankan pelbagai aktiviti kebudayaan, riadah dan lain-lain di sini .

Yang aku nak ceritakan adalah berkenaan dengan kisah-kisah folklore yang dikongsi dengan kami, ada berunsur jenaka dan cerita mulut. Kat wiki cakap folklore ni bermasud:

Budaya rakyat merangkumi cerita, muzik, tarian, legenda, sejarah, peribahasa, jenaka, tahyul, adat resam, dan sebagainya dalam lingkungan sesebuah masyarakat yang mengandungi tradisi (termasuk tradisi lisan budaya, subbudaya, atau kumpulan tertentu, dan juga amalan-amalan perkongsian genre-genre penyampaian tersebut. Secara amali, wujudnya hubung kait antara budaya rakyat dan mitos. -wikipedia

Jadi, antara cerita yang sempat mereka kongsikan dengan kami adalah tentang sejarah nama kampung mereka, Mehdiah. Mehdiah ini dikatakan pada awalnya hanya didiami oleh penduduk di dalam kawasan kasbah sahaja. Kasbah adalah kawasan kubu yang berpenghuni, siap dengan rumah-rumah, penjara, ruang tinjau, hamam, masjid dll.

Maka, pada suatu masa setelah kawasan ini tidak lagi menjadi sasaran serangan tentera musuh dan bilangan penduduk yang semakin meningkat, raja mereka datang melawat ke kasbah ini. Melihat kepada kepadatan penduduknya, maka beliau bertitah bahawa tanah di luar kasbah itu di’hadiah’kan kepada mereka (مَهدى إليهم) dan menitahkan supaya mereka pergi membina penempatan di luar kawasan kasbah tersebut.

Lalu, mereka namakan kampung kurniaan raja mereka dengan Mehdiah (المهدية).

Hebat betul kuasa raja, baru aku tahu tanah kat atas muka bumi ni rupa-rupanya milik mereka. *sarkasme*

______________________________________________________________________________________________

Kisah kedua pula, ketika kami menjamu selera selapas solat Jumaat mereka bercerita tentang kisah rakyat yang katanya agak popular di kalangan mereka.

Kisah ini adalah bahan jenaka untuk merendahkan pihak musuh. Suasana perang antara tentera Maghribi dan Algeria. Kita pun tahu dua negara ni memang tak sebulu kan.

Alkisahnya, kedua-dua rakyat negara ni memiliki nama-nama common yang mereka letak, kalau di sini Mohamed manakala di Algeria pula Abdelkader.

Jadi masa perang tu (bayangkan perang main-main, dengan muka bercoreng-coreng…hahaha), strategi Maghribi untuk menang adalah Simou (si Mohamed) tadi akan menjerit panggil nama Abdelkader dan suruh mereka berdiri, kemudian bila mereka dah berdiri maka askar-askar Maghribi akan tembak mereka. Maka, matilah ramai tentera Algeria.

Kemudian, bila tentera Algeria tahu je strategi pihak Maghribi mereka pn menggunakannya dalam peperangan seterusnya. Lalu, ketika dalam peperangan itu mereka menjerit, siapa Mohamed sila berdiri. Maka, Mohamed-Mohamed yang ada ni pung berdirilah dan terus tembak yang tak berdiri, sebab sah-sahlah mereka tentera Algeria. Duhh, wateva…lepas tu gelak pecah rumah.

Dan banyak lagi cerita-cerita yang cuba dipecah rumahkan oleh mereka dan kami pun gelaklah bila faham, bila tak faham kami gelaklah bila mereka gelak.

Dan akhirnya mereka suruh aku pula cerita folklore kami di Malaysia.

Aku ada teringat satu kisah (atau teka-teki sebenarnya). Kisah tiga sekawan dari Perancis, Malaysia dan Indonesia yang duduk dalam sebuah kapal dengan barang yang banyak didapati di negara masing-masing. Tapi malangnya kapal itu penuh dan nak karam jadi mereka terpaksa membuang barang mereka untuk mengelakkan karam.

Maka, orang Perancis pun buang arak. Orang Indonesia buang keterek dan orang Malaysia?

Anda sambunglah sendiri cerita aku.

Dan lebih malangnya aku tak cerita pun kisah ni pada mereka, macam agak ofensif untuk pihak yang berkenaan.

.

.

p/s: Jiran sebelah kalau bergaduh lagi dahsyat daripada kapitalis dengan sosialis berperang. Senyap je dan tapi berpanjangan. 😦

Baru tahu perbezaan Bulan Sabit Merah (الهلال الأحمر) dengan Palang Merah (الصليب الأحمر). Rupanya pada agamanya.

Karya 2: “Sembah Aku Tuhan”

Sembah aku Tuhan!!!

UntukMu Tuhan
Kulembar  senaskah citra
Polemik pojokMu kutitip kemas
Ikut acuan pemikir pagan
 
Tuhan
Terngiangku baiah itu
Tika belumpun janin aku
Akan akad bala syahidna
FirmanMu lagi itu laguku
 
Hulu benakku mengarah jantung fikirku
Alirkan darah soalku ke hilir peparu kelabuku
Namun hemoglobin itu
Bagai terdeoksigen jawapan padu
Akukah yang melagu shahadah itu
Atau sekadar jenaka nanarMu
 
Tuhan
Layakkah Engkau
Gelar aku abdiMu
Sedang Kau
Jenuh jaja kejamnya jeriji Jahannam
Takut aku lupa seru ampun
Tetapi aku
Kenyang laparku kais sendiri
Hujan panas kupayung sendiri
Hela nafasku pun sedut sendiri
 
Bumi ini  bumi aku
Tanah ini tanah aku
Udara ini udara aku
Sedang iradatku mencantas kudratMu
Inikan pula janji kabur itu
Entah lembangan mana dah kuhumban
 
Sedarkah Engkau Tuhan
Lelah aku cerut tulen
Sedang janji Engkau candu tiruan
Justeru
Sembahlah aku layaknya aku
Kerana kayangan itu
Dongengan si marhaen buta
Menyedut muluk lewat candu kontangMu
 .
Qalbiaish88
10/01/08
11 :47p.m
.
Komen: Ini adalah puisi kedua aku yang dihantar ke YG GKLN untuk dikritik dan aku memang dihentam teruk sebab ‘kekafiran’ puisi ini. Puisi ini memang agak kontroversi, luahan seorang rakan athies tentang kepercayaan kepada Tuhan yang kita sembah. Aku sebenarnya berhasrat untuk menyediakan satu versi lain, iaitu untuk menjawab balik puisi ini. Tapi agak menarik sebab sudah ada ahli GKLN sendiri yang menjawab ‘puisi’ ini, yang aku kira bagus untuk diletakkan bersama-sama di entri ini.
.
.
Berikut adalah puisi jawapan kepada puisi di atas, yang ditulis oleh saudara Siddiq Osman.
.
.
Engkau Hamba,,
Suara itu pemberianKu.
Akal itu KurniaanKu.
Ilham itu bisikan hambaKu yang jauh.
Jauh dijauhkan terlalu jauh.
sembahanmu tiada Kucari.
Rezeki yang kau lelahkan sudah Ku kirimi.
Cerutmu yang dirasa asli sekadar pinjamanku.
Candu yang kau katakan tiruan akan kau tagihkan.
Jantungmu dalam bolak balik Ku.
sirna kataKu hilang sinar matamu.
Aku ikat janji denganmu agar kau sedar dirimu.
Engkau patuh dalam kehendak putusKu.
kini kau sesat dalam pilihan berianKu.
Laknatlah dirimu.
andai Aku kau sanggahi.
durjalah hidupmu.
Kira Aku kau hindari.
SumpahKu sumpah pasti.
Engkau Hamba.
Aku segalanya.
Tiada yang cukup dari nusrahKu.
Engkau Hamba.
Jangan Derhaka.
.
.
siddiq osman
khartoum
.
bukan layak mengganti kalam tuhan.
tetapi bercakap sebagai tentera tuhan.
semoga Allah ampunkan diri ini..
.
.
Komen dan Kritikan:
.
Berikut adalah komen daripada saudara Syafiq Zulakifli dari Mesir (alaa,  presenter TV Al-Hijrah tu):
.
Assalamualaikum. …Tetiba saya ingin membalas dan memberi sedikit respon terhadap puisi daripada dua orang sahabat kita. Pertama puisi ‘Sembah aku Tuhan’ dan  kedua,’Engkau Hamba’. Sebelum saya meneruskan hujah saya, izinkan saya memohon maaf kerana saya adalah insan yang terlalu kerdil untuk membahaskan perkara-perkara ini.Puisi “Sembah aku Tuhan!” Tajuk ini amatlah ‘ganas’. Walaupun isinya tidak keterlaluan, tetapi tajuk yang terlalu ‘meriah’ ini hanya akan memperdaya si pembaca. Walaupun penulis menganggap puisi ini adalah puisi seorang kafir, adalah tidak layak memasukkan unsur cerita Ilahi bersama golongan kafir. Secara peribadi, puisi monolog kepada Allah hanya akan mendatangkan pentafsiran yang pelbagai dan ‘merosakkan’ akidah sahaja.

Di Mesir juga, pernah ada unsur-unsur sebegini, namun sebagai pihak bertanggungjawab terhadap isu-isu sensitif Islam ini saya wajar aku ketidak sesuaiannya.

Begitu juga pada puisi ‘Engkau Hamba!’ Secara peribadi, puisi ini juga tidak layak dijadikan puisi kerana seolah-olah Allah sedang ‘bercakap’ dan percakapan yang digunakan adalah secara tulisan. Walaupun kita ketahui bahawa al-Quran adalah kalam Tuhan yang diturunkan melalui perantaraan Jibril, tetapi kalam Tuhan adalah kalam-kalam yang hanya terbit di dalam al-Quran.

Maka, seolah-olah karya dan puisi “Engkau Hamba!” adalah kata-kata Allah selain dari al-Quran. Dan, perkara ini serba sedikit akan mendatangkan pemahaman kita bahawa Allah menurunkan wahyu baru selain al-Quran.

Pokok pangkalnya, seseorang penulis harus bertanggungjawab terhadap penulisan mereka. Saya secara peribadi memberikan pendapat ini. Tetapi, jiwa ada kawan-kawan yang lebih arif daripada saya, saya jemput untuk bicara tentang hal sebegini.

.

Moga, kita dapat kebaikan bersama. Wassalam.

.

Syafiq Zulakifli
Kaherah, Mesir
http://typeace. blogspot. com

.
.
Ini pula pandangan daripada saudara Fahd Razy:
.
Assalamualaikum. …Wah, dua buah puisi yang agak mengejutkan, teringat
pula puisi Kassim Ahmad apabila menyebut ‘tuhan telah
mati’ dan menjadi kontroversi sampai sekarang.Pertamanya, sebagai penulis Muslim, sudah menjadi
tanggungjawab kita mengangkat kemuliaan Islam dalam
karya, menolak kebatilan dan menegakkan kebenaran.
Diakui, hal ini punya banyak pendekatan dan
penafsiran, banyak
strategi dan kaedahnya. Namun, apabila membaca puisi
Abdul Rahim berjudul ‘Sembah Aku Tuhan’ satu
kebimbangan dalam hati saya ialah keberkesanannya
dalam mencapai matlamat di atas.

Apabila membaca puisi tersebut, saya dan juga
kebanyakan ahli GKLN tahu bahawa puisi tersebut
ditulis begitu dalam keadaan sedar, dan sengaja,
mungkin hasratnya untuk membawa sudut pandangan
seseorang yang menolak ketuhanan. Memang benar, untuk
membenarkan atau menolak sesuatu perkara, kita perlu
memahami hal itu terlebih dahulu.Berhujah dengan
mereka yang
menolak agama misalnya, sekular dan sebagainya, wajib
untuk kita ketahui apa pandangan dan hujah mereka.
Mungkin ini yang cuba dikongsi oleh saudara Abdul
Rahim. Namun begitu… masih punya banyak pendekatan
lain yang lebih jelas, dan tidak mengelirukan.

Yang saya kata mengelirukan, pendirian penulis dalam
puisi ini tidak dijelaskan dengan berkesan. Hanya nota
kaki di bawahnya saja yang menjelaskan. Tanpanya,
sudah pasti para pembaca melihatnya sebagai suara
pengarangnya sendiri!!!

“”Salam..sebelum berlaku apa2 kontroversi, ingin saya
tegaskan di sini bahawa puisi ini saya tulis
berdasarkan kisah seorang Muslim yang free thinker .
Puisi ini juga dari sisi orang kafir yang angkuh
dengan Allah…”

Dalam penerbitan, misalnya. Sudah pasti nota kaki
tersebut tidak akan disiar, lalu sajak ini akan
berdiri dengan sendiri dan menjadi sangat hodoh jika
hal ini berlaku, kan? Dari nota kaki itu juga, penulis
sendiri menyedari akan kontroversinya hal ini, maka
saya rasa memilih untuk menjadi kontroversi bukan
satu hal yang bijak, terutama untuk penulis baru.

Sebagai membaikpulih puisi ini, cadangan saya agar
ditegaskan pendirian penulis sendiri. Contohnya,
gunakan dialog, tegaskan bahawa itu kata-kata sahabat
anda. Dan, kebatilan tidak harus dimenangkan. Juga
kebatilan tidak harus ditonjolkan berlebihan dalam
penulisan. Bayangkan, sebuah novel misalnya, tentang
lelaki yang jahat, dia merompak, membunuh, merogol,
menagih, dan sebagainya. 24 bab menceritakan
kejahatannya saja. Bab ke-25, dia akhirnya ditangkap,
dan dihukum bunuh. Dalam penjara dia bertaubat
sungguh2, dan hari terakhir hidupnya, bermimpi
malaikat datang beritahu dia telah diampunkan.
Bayangkan novelseperti ini, walaupun ditamatkan dengan
murni (juga dijelaskan pandangan penulis terhadap
lelaki itu, iaitu yang jahat akan dapat balasan),
tetapi kerana kebatilannya ditonjolkan berlebihan2,
karya seperti ini gagal menjadi karya murni, karya
yang ditulis oleh penulis Muslim.

Hal yang sama juga perlu untuk puisi ini. Jelaskan
pendirian pengarang. Anda kreatif, sudah tentu tahu
bagaimana. Juga, kebatilan harus dikalahkan. Kalau
anda kemukakan suatu kebatilan, maka serta merta
sanggahnya kembali agar pembaca mengetahui pendirian
anda. Karya sastera, sememangnya wajar ‘reflect’
pendirian penulis. Ini bukannya sekadar kita menyalin
‘pandangan orang’ atau ‘fakta’ macam dokumentari
ataupun buku
sejarah. (Bahkan sejarah dan dokumentari sebenarnya
ditulis berorientasikan pandangan
sejarawannya/ dokumentarisnya)

Sila baca, TEORI YES yang telah dimuatkan di blog
GKLN. Saya letakkan di situ ada sebab. Ingat teori itu
sampai bila-bila.

Puisi kedua, putera perabot, juga saya lihat dibina
dengan teknik yang mengelirukan. Puisi ini memerlukan
nota kaki untuk menjelaskannya. Nota kaki, kalau dalam
emel bolehla letak. Tapi dalam penerbitan dan
sebagainya, tak ada ruang untuk diletakkan, dan puisi
ini harus berdiri sendiri. Dan jika puisi ini berdiri
sendiri, juga akan menimbulkan kekeliruan. Walaupun
agak berbeza dengan pendekatan Abdul Rahim (dan
sebenarnya, bertentangan pendekatan) tapi kekeliruan
yang boleh timbul sebanding. Hujah seperti ‘ala,
pembaca faham apa yang aku maksudkan’ tak patut
digunakan, terutamanya dalam hal yang sebegini.

Memang kebanyakan pembaca faham mesej yang dibawa.
Namun dalam puisi-puisi sebegini, ada beberapa batas
yang perlu difikirkan. Hal yang sama, misalnya,
berlaku dalam karya-karya sufi. Tidak semua karya sufi
adalah untuk bacaan umum…sebaliknya sesetengah karya
sufi sewajarnya untuk khalayak sufi yang memahami
perlambangan- perlambangan dan falsafahnya. Apabila
batas ini tidak diteliti, maka terjadi kekeliruan di
pihak khalayak. ‘Tuhan dalam jubahku’, untuk ahli sufi
tentunya memahami…namun menyatakannya secara terbuka
tentu bawa kesan yang merugikan, meskipun wujud
ketulusan maksudnya.

Saya tidak mengatakan bahawa puisi putera perabot
adalah karya sufi, namun situasi yang sama saya rasa,
apply untuk puisi putera perabot. Walaupun mesejnya
murni, namun pendekatannya pada pendapat saya perlu
diperbaik. Saya secara peribadi boleh bertolak ansur
dengan kedua-dua puisi ini, tapi dari segi pandangan
yang rasional, pendekatan yang lebih wajar perlu
digunakan. Memilih pendekatan yang kontroversi,
adakalanya baik. Adakalanya membunuh. 50-50. Jalan
yang selamat, terutama penulis baru seperti anda, dan
saya, ialah memilih jalan yang kurang kontroversi.
ATaupun, banyak aspek lain lagi yang boleh
dikontroversikan. Karya yang kontroversi, biasanya
eksperimental, dan saya memang galakkan ahli-ahli GKLN
bereksperimen. Tapi, kadang-kadang kesesuaian perlu
dipertimbang.

Salam
Fahd Razy
Galway.

.
.
p/s: Penyakit penulis baru, nak benda gah saje (perasan gah di mata sendiri). Bila baca balik puisi ni aku masih seram sejuk. Tak sangka juga aku menulis puisi sebegini, walau pun sekadar untuk represent orang lain. fuhhhh
.
Begitulah juga dalan kehidupan, kadang-kadang tak perasan sehinggalah ada yang sudi ketuk dah tegur kita. Kena syukur banyak-banyak kalau ada yang sanggup ‘menyibuk’ untuk tegur kita.
.
.
Moral: WE REPRESENT OUR WRITING, AND BE A RESPONSIBLE WRITER.

Justifikasi

Setiap perkara yang kita lakukan perlu ada justifikasi yang jelas sebagai satu jawapan kepada persoalan yang mungkin ditimbulkan implikasi daripada perbuatan tersebut.

Ada perkara yang kita lakukan itu betul dari segi prinsipnya, tanpa perlu justifikasi. Sebagai contoh, konsep berbuat baik sesama manusia yang bersifat common sense. Tanpa perlu lagi bersebab musabab yang panjang lebar, hampir semua manusia bersetuju dengannya.

Ada perkara yang betul pada prinsipnya, akan tetapi perlukan justifikasi yang benar-benar kita yakini untuk menerima atau menolaknya.

Dalam hal inilah kita akan lihat bagaimana sistem kepercayaan yang kita bina melalui pengalaman, tahap ilmu, latar belakang dan kecenderungan diri dalam membenarkan atau menolak satu-satu justifikasi yang diberikan.

SISTEM 

Apabila kita sebut tentang sistem pemikiran, maka mahu tidak mahu kita perlukan kepada struktur-struktur konkrit yang terhadap di dalamnya untuk dijadikan asas dan indikator dalam pembentukan sistem tersebut.

Mudah cakap, apa unsur-unsur yang kita guna dalam menilai satu-satu perkara sehingga layak diangkat menjadi satu pemikiran, atau sekadar satu gumaman kita semata-mata yang mungkin bertaraf sampah. huhu

Contoh mudahlah, aku bercakap pasal remaja a.k.a aku dan yang sewaktu dengan aku. Kita selalu dilabel sebagai anti-established dan aku akuilah. Kita suka menjadi unik, punya ideologi yang ‘konon’nya tersendiri dan seolah-olah tak pernah lagi orang yang sebelum kita terokai apa yang kita tahu hari ini.

Lebih buruk lagi apabila yang berideologi bombastik ini nak cuba membuang ideologi-ideologi yang lain tanpa mereka kenal pun apa yang mereka bangkang itu sampai ideologi Islam pun dilanggar tanpa sedar.

Lalu ditohmah pihak lain sebagai dogmatik, dungu dsb.

ILMU

Kuncinya adalah ILMU. Tak tahu tapi buat-buat tahu, atau tak mahu tahu tapi bertegang urat leher untuk pertahankannya.

Pepatah Melayu ada menyebut, kalau kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan diduga.

Mungkin pihak yang didakwa itu sengaja berdiam diri untuk menjaga maslahah ukhuwah atau bersangka baik bahawa kebenaran pasti akan terserlah dengan sendirinya.

Mungkin kita sebenarnya yang masih tak direzekikan kefahaman agama oleh Tuhan. Ya, kefahaman agama itu adalah satu rezeki yang perlu padanya mujahadah, dan hanya dikurniakan buat mereka yang Dia mahukan kebaikan sahaja.

Kata Imam Syafie, “Aku mampu berhujah dengan 10 orang alim tapi aku tidak mampu berdebat dengan seorang yang jahil!”

Karya 1

Akhirnya berjaya juga aku berjumpa dengan anak sulung aku (karya pertama akulah tuh) setelah puas mencari di kotak e-mel.

Basically konsep yang aku nak bawakan adalah meletakkan puisi aku di sini, kemudian aku akan bercerita serba sedikit tentang proses penulisan tersebut, dan unsur-unsur sastera yang cuba aku masukkan. Seterusnya sudah tentulah kritikan daripada otai-otai GKLN terhadap karya aku.

Aku masukkan karya-karya aku ni ke dalam satu page baru – sila cek di atas -sebelah home. Senang nanti tak payah nak cari kat arkib sebab blog aku ni tak ada label dan gagal diselenggara dengan baik, jadi payah nak jumpa.

Jom kita menukang karya!

_____________________________________________________________

Matahari itu….

Baru kelmarin mentari itu…
Sinarnya terang tarinya tualang
Seisi bumi silau memandang
Kata tuturnya jelas lantang
Syurga itu tempat bertandang
Kerana kayangan itu cuma setangga berselang

Saat tidur sang mentari…
Bayu menghembus memeluk sinis
Merenung keras lagak pesimis
Desasnya mengikis desusnya menghiris
Namun sang mentari itu
Tetaplah ia menguntum manis
Walau iris bergenang  gerimis

Tapi semalam mentari itu…
Sinarnya kurang tualangnya tempang
Terdetik bumi ke mana omongnya terbilang
Mungkinkah syurga itu menutup gerbang
Atau ia sendiri bermimpi panjang

Susuk bayu menerpa kembali
Terbahak kejam menyorot sang mentari
Tusuknye tuli tikamnya benci
Sengsara diri ratapnya fardi
Nista dicerna lumat sendiri

Kala petang, mentari itu…
Pudar cahaya malas dipandang
Rajukkan diri marahkan siang
Namun datang semesta memeluk girang
Mohon Ilah pasakkan tiang

Ironi sang bayu terjah menggertak 
Benci sangat bagai dibentak
Katanya usah dibaja petualang  yang benak
Takkan ia menangkis onak

Hari ini, sang mentari itu…
Tenang berdiri mencancang kaki
Walau terpasung dek umpat keji
Secangkir cahaya melimpahi bumi
Cukup menyenangkan rahmat Ilahi

Gegak semesta gempita cakerawala
Bersorak kata bertepuk gembira
Saat semayam di mahligai syurga
Berdendang nyanyian bahasa Pencipta

QALBIAISH
28 Disember 2007

Abdul Rahim bin Zainudin
Universiti Mohammed El Khomis 
Rabat, Morocco.

.

Proses Penulisan:

Aku menulis puisi ini sebagai tribut kepada tokoh politik Pakistan, Benazir Bhutto yang mati dibunuh. Aku cuba menggambarkan ketabahan beliau dalam melayari renyah politik yang adakala disanjung dan memiliki ramai pengikut, dan dalam masa yang sama dibenci yang akhirnya membawa kepada kematiannya.

Akhirnya beliau ‘tersenyum’ di syurga. Satu doa.

Unsur Sastera: Aku cuba memasukkan unsur asonansi seperti dalam baris ini: Desasnya mengikis desusnya menghiris (asonansi huruf S)

Komen dan Kritikan: Ha, bab ini adalah bab yang paling best sebab puisi ini dinilai oleh orang yang agak autoriti juga dalam bidang puisi.

Well, ini anak sulong kan, jadi faham-fahamlah. Serius, aku baca sekarang memang gelak je. Tapi agak impresif jugalah sebab tidaklah kosong terus daripada unsur sastera kan?

Komen ini adalah daripada Dr. Fahd Razy, beliau adalah pengasas GKLN ini, seorang doktor perubatan dari R. of Ireland. Telah memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-Exxon Mobil (HSKU) beberapa kali. Sebab tu aku cakap beliau agak berautoriti dalam menilai karya.

……………………………………………

“Saya tak tahu kenapa, melihat tarikh puisi ini
ditulis, merasakan seolah-olah puisi ini ditujukan
untuk Benazir Bhutto. Mungkin kerana isu tersebut
yang sedang diperkatakan sekarang, Sky News tak henti
ulang tayang berita sama semalam (walaupun saya punya
pandangan yang bukan berbeza tentang Benazir, tapi
kematiannya tetap satu tragedi untuk umat Islam yang
makin parah, seriau rasanya). Juga melihat
pengakhiran sajak ini yang membayangkan
pemergian/kematian, khasnya pada baris:

“Saat semayam di mahligai syurga”

Jika telahan saya benar, sedikit cadangan, supaya di
bawah tajuk puisi diletakkan sedikit nota, dalam
kurungan. Misalnya:

Matahari itu….
(Untuk Benazir)

Ini penting, terutamanya dalam puisi yang
seratus-peratus (atau hampir 100%) simbolik seperti
puisi Abd Rahim. Jika telahan saya salah sekalipun,
nota tersebut tetap digalakkan untuk memberi ‘hint’
kepada pembaca akan mesej pengarang. Bahkan, saya
yakin, membaca puisi sdr Abd Rahim ramai yang
tertanya-tanya apakah yang dimaksudkan, matahari?
Bayu? Kayangan? Tentang ozon ke?

Seterusnya, masih lagi tentang tajuk. Mengapa perlu
ada tiga titik berturutan itu (bahkan empat
sebenarnya)? ???? Setiap penulis GKLN, yang tampil
dengan kesalahan sama saya anggap sebagai ahli baru,
yang tak baca komen saya sebelum ini. Termasuklah tiga
titik pada akhir baris pertama setiap rangkap,
walaupun tidak salah, tetapi merosakkan ‘fluency’
sajak itu. Buang saja. Letak koma, kalau mahu juga
letak sesuatu.

Seterusnya, seperti yang saya sentuh, puisi ini
sepenuhnya bermain dengan simbolik. Satu tafsiran
saya, (yang mungkin saja salah), matahari menjadi
simbol ‘ketokohan’. Satu watak yang berperanan besar
dan dominan dalam masyarakat, seperti mana matahari
itu sendiri sangat penting dalam menjana enjin
ekosistem kita. Tetapi jasa dan sumbangan matahari
tidak direstui ‘bayu’. Baca saja rangkap ini:

Susuk bayu menerpa kembali
Terbahak kejam menyorot sang mentari
Tusuknye tuli tikamnya benci
Sengsara diri ratapnya fardi
Nista dicerna lumat sendiri

juga rangkap ini…

Ironi sang bayu terjah menggertak
Benci sangat bagai dibentak
Katanya usah dibaja petualang yang benak
Takkan ia menangkis onak

Walaupun tentangan yang disuarakan oleh sang bayu,
matahari tidak putus asa,( Walau terpasung dek umpat
keji/ Secangkir cahaya melimpahi bumi ) sehingga
akhirnya matahari bersemayam di syurga. Mungkin
tafsiran ini salah satu versi yang boleh kita dapati
daripada puisi ini. Terserah kepada penulisnya, untuk
menerangkan selepas ini, maksud yang dibawa. =D

Walaupun penuh dengan simbol, puisi ini masih lagi
bertampung dengan klise. Perlambangan ‘matahari’ itu
sendiri suatu yang klise, walaupun dilihat ada usaha
yang bersungguh untuk menonjolkannya dalam rupa yang
baru, itu strategi yang cemerlang! Tapi pandangan
saya, strategi Abd Rahim ini kurang berjaya kerana
puisinya terlalu meleret bercerita, ulang-mengulang
akan hal yang sama. Lambang ‘matahari’, walaupun
klise, tetapi ditonjolkan dalam suasana baru, menjadi
baru…tetapi apabila terlalu dihuraikan, diceritakan
bertele-tele, maka akhirnya tanpa disedari, akan
terserlah aspek-aspek klisenya.

Dari segi pemilihan katanya, saya rasa Abd Rahim punya
bakat, puitis orangnya. Berpotensi. Cuma olahan dan
cara/teknik memaparkannya perlu diperbaiki.
Analoginya, kalau nak decorate rumah, dengan kata
lain, Abd Rahim pandai menghias, letak pasu, bunga,
bingkai etc, tetapi kurang dari segi reka letak supaya
perabot2 itu berfungsi. Block jalan ke tak. Boleh buat
orang terlanggar ke tak. Dsb.(hmmm. macam dah start
melalut pula saya ni…=D)

Apa2pun…teruskan menulis!!! Satu-satunya cara
mengatasi apa yang kata ini, bukan dengan mengedit
sajak ini. Tetapi dengan menulis lebih banyak sajak!

Eid Mubarak!”

…………………………………….

Manakala ini pula adalah kritikan daripada senior aku sendiri, saudari Khajidah Khalilah Abdul Rashid.

Assalamualaikum,

Pertama kali,tahniah pada Rahim atas puisi yang dihasilkan.”Junior” saya ni minta saya memberi pandangan saya terhadap puisinya.Saya terlewat tak sampai sehari,tapi banyak aspek telah disentuh oleh Saudara Fahd.Hehe.Saya kira komentar Fahd sudah cukup,hanya memenuhi permintaan Rahim saya komen sikitlah ye.
Pada pandangan saya,penulis seorang yang banyak membaca dan mempunyai kosakata yang meluas.Saya pun tak banyak kosakata macam tu.Tahniah sekali lagi.Saya perlu banyak membaca lagi lepas ni.=)
Pandangan Fahd berkenaan sajak yang meleret,saya setuju.Saya kira,sajak Melayu yang pendek dapat juga dilihat keindahannya. Saya suka sajak A Samad Said yang pendek dan tidak meleret-leret tetapi seronok  membacanya.Saya kira,mungkin Rahim terpengaruh dengan syier Arab yang memang meleret-meleret. (dulu pun pernah ada orang menegur sajak saya yang meleret seperti syier Arab)
Tentang penggunaan rima dan huruf yang sama dibelakang,pendapat saya sendiri,saya tak suka terikat dengan huruf yang sama.Seolah- olah kita tercari-cari perkataan apa yang sesuai untuk menyamakan perkataan di hujungnya.Ini bukan syier lama arab (syier qadim) yang perlu disamakan ‘qafiah’nya.Syier baru arab (syier hadith) tidak terikat pada ‘qafiah’ yang sama.

Ok,itu saja apa yang dapat saya beri untuk pandangan saya.

Sanah Saiedah!

_____________________________________________________________

.

Jadi kesimpulannya adalah, penulis baru biasanya akan lakukan kesilapan   yang hampir sama. Antaranya adalah:

1. Suka sangat buat titik melebih-lebih tanpa tujuan.

2. Klise! Ini sangat kerap.

Klise ni adalah satu kekerapan struktur sama ada perlambangan, metafora, personifikasi dsb yang tidak lagi menjadi kejutan kepada pembaca. Boleh klik di sini untuk contoh.

.

Sekian, selamat membaca sastera. hahah

YES!

YES adalah satu teori yang aku belajar untuk menulis karya-karya kreatif. YES secara literalnya bermakna “yang elok-elok sahaja”. Aku terlupa siapa pelopor teori ini, akan tetapi teori ini secara asasnya menyeru lepada penulis-penulis karya kreatif untuk menulis sesuatu tema atau cerita (tak kiralah apa pun genrenya) dengan bertanggungjawab – yang molek-molek sahaja.

KENAPA

Kita mungkin tertanya-tanya kenapa perlu ada penapisan dalam penulisan, baik puisinya atau cerpennya atau fiksyennya, malah dalam penulisan biasa sekali pun. Apa sebenarnya fungsi penulisan dalam membentuk sistem kepercayaan dan ittijah pemikiran seseorang sebaik disebarkan kepada massa.

SEJARAH

Aku nak mulakan dengan sejarah syair arab klasik atau disebut jahili. Tema syair mereka kebiasaannya berkisar tentang kecintaan kepada perempuan, arak, kebanggaan terhadap keturunan, ratapan dan beberapa tema utama yang lain. Contohnya dalam syair Ka’ab bin Zuhair (sebelum keislamannya) tentang keindahan kucupan di mata wanita yang dicintai sebagai lebih indah daripada arak yang disejukkan. (pada zaman Eropah sedang ‘kegelapan’, bangsa ini sudahpun merasa arak yang disejukkan itu sedap berbanding yang tidak disejukkan – peminum arak, ada komen? huhu)

Kemudian setelah berakhirnya era ini, datang selepasnya era Islam. Pada kerika era ini, syair sudah tidak lagi menjadi satu keutaamaan di kalangan sahabat Nabi s.a.w untuk dijadikan sumber hiburan dan kebanggaan bangsa Arab. Malah, Al-Quran sendiri diturunkan atas maksud untuk ‘melemahkan’ (al-Mu3jiz) syair-syair jahili.

Malah di dalam Al-Quran sendiri terdapat satu surah khas untuk golongan penyair-penyair ini. Dan di akhir-akhir surah itu juga disebut tentang sifat penyair-penyair ini yang suka berkhayal dengan ketidaktentuan yang diciptakan syaitan.

Mahukah, Aku khabarkan kepada kamu, kepada siapakah Syaitan-syaitan itu selalu turun?[221]

Mereka selalu turun kepada tiap-tiap pendusta yang berdosa,[222]
Yang mendengar bersungguh-sungguh (apa yang disampaikan oleh Syaitan-syaitan itu), sedang kebanyakan beritanya adalah dusta.[223]
Dan Ahli-ahli syair itu, diturut oleh golongan yang sesat – tidak berketentuan hala.[224]
Tidakkah engkau melihat bahawa mereka merayau-rayau dengan tidak berketentuan hala dalam tiap-tiap lembah (khayal dan angan-angan kosong)?[225]
Dan bahawa mereka memperkatakan apa yang mereka tidak melakukannya?[226]
Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh (dari kalangan penyair-penyair itu), dan mereka pula mengingati Allah banyak-banyak, serta mereka membela diri sesudah mereka dianiaya. Dan (ingatlah), orang-orang yang melakukan sebarang kezaliman, akan mengetahui kelak, ke tempat mana, mereka akan kembali. [227]

Dalam ayat tersebut diceritakan tentang golongan penyair-penyair atau tukang cerita yang cenderung untuk berdusta dan mengada-adakan cerita untuk didengar khalayak dan mencandu mereka dengan kisah-kisah dongeng. Penyair-penyair tadi akan memanipulasikan kehebatan mereka bercerita dan berbahasa sehingga ramai orang yang terkesima dengannya.

Oleh itu Al-Quran diturunkan dengan bahasa yang sangat indah dan tidak berbentuk fiksyen, malah mendatangkan bukti-bukti yang dapat diterima oleh massa. Hal ini bertujuan melemahkan kehebatan pihak musuh (kerana pada era itu permainan perkataan adalah satu seni yang sangat-sangat dibanggakan).

Sampailah berakhirnya era Khalifah Empat, maka syair-syair yang berbentuk jahili ini tidak lagi rancak kedengarannya.

Akan tetapi, malangnya ketika zaman selepas itu, syair-syair sebegini kembali mendapat tempat dalam sosiobudaya bangsa ini.

 Al-Quran pula diturunkan dengan bahasa indah dengan TANGGUNGJAWAB untuk menjaga kemurniaan masyarakat. Malah Nabi juga terkenal dengan ‘jawami3 al-kalim’ (ayat yang ringkas, tapi padat dan memberi makna yang tepat).

GKLN

Di Morocco ini, aku dikenalkan satu grup, Grup Karyawan Luar Negara (GKLN) yang bertanggungjawab menyedarkan aku tentang tujuan kita menulis apa-apa pun bentuk karya kreatif dengan memikirkan asas penulisan itu adalah untuk menyebarkan mesej yang baik kepada pembaca.

Lebih-lebih lagi kalau nak dikaitkan dengan agama kita (haaa, abislah ramai jadi jaki, ahaha) yang tidak membenarkan kita bertele-tele dengan perkara yang bersifat khayalan, dan bagaimana kisah-kisah yang diceritakan barangkali bakal menjadi satu sistem kepercayaan yang dipegang semua orang.

Ekstrim tak kalau aku letak contoh kisah Hang Tuah, yang kita dok bising sekarang ni. Ada ke idokk Hang Tuah tu dll. Malah, dalam Al-Quran sendiri apabila menceritakan kisah Ashab Al-Kahfi pun, tidak pula menyuruh kita dok cari kat mana gua tinggalan tu, betul ke di lokasi itu atau di sinikah dll.

Akan tetapi karya yang melangkaui karya magnum opus ciptaan mana-mana manusia ini pula bercerita tentangnya dengan kefahaman yang mampu digapai oleh semua pembaca, malah yang lebih penting adalah PENGAJARAN daripada kisah tersebut. Itulah the bottom line bagi kisah dalam surah itu, tentang lapisan kedua atau ketiga yang kita hanya dapat intinya dengan menelitinya dengan basirah, bukan sekadar pembacaan rutin yang sirna maknanya selepas sadaqAllahul azim.

Ini kerana Islam yang sedang kita anuti itu bukanlah agama sendiri-sendiri. Sebab itulah apabila satu-satu hal yang bersangkutan dengan orang ramai, maka ia lebih dititikberatkan.

Sebagai contoh apabila penzina dan perompak dibandingkan, maka perompak itulah yang lebih diberati oleh Islam kerana mereka merosakkan dan melibatkan umum berbanding penzina (bukan perogol) yang hanya melibatkan dua orang sahaja.

Begitu juga dalam beramal dengan agama, seorang yang solatnya lengkap tanpa melakukan dakwah (alergi lagi…wahhh) maka belum dikira sempurna, malah boleh jadi fitnah untuknya dengan beramal untuk diri sendiri semata-mata. Kalaulah Nabi kita diturunkan hanya untuk beribadah secara bersendirian, kita pasti akan mendapati Nabi tak akan bersusah payah mengajak orang kepada Tuhan, akan tetapi baginda akan terus menerus beribadat dan beribadat lagi. Lebih-lebih lagi fitrah manusia itu sendiri yang imannya turun dan naik, tidak statik macam malaikat.

Bab mengajak mungkin kelihatan lebih mudah, tapi bab nak menegah kesalahan?

Hari ini bila kita menegah perkara sebegini, bakal dituduh menjaga tepi kain orang. Oh, aku pun selalu je rasa macam tu. fuhhh. Sampai tertanya-tanya kenapalah pendakwah-pendakwah ini dah macam tak reti malu ke nak sibuk hal orang, cuma bila faham balik dakwah mereka itu hanya untuk memenuhi tetaatan kepada Tuhan mereka, maka aku pula yang jadi malu.

_______________________________________________________________________________________________________

p/s: Entri ini adalah cubaan menulis artikel sastera pada asalnya, tapi makin lama makin tak berlaras bahasa artikel pula. Bukan apa, setelah aku dipaksa rela oleh junior untuk kembali menulis puisi dan juga genre-genre yang lain, jadi ini semacam guidelinelah untuk aku pegang molek-molek bila nak kembali menulis nanti (?!).

Aku macam nak poskan balik puisi-puisi yang pernah aku karang dolu-dolu. Tengoklah macam mana, sebab wordpress ni lembab, payah nak buat khije menulis ni. Nak guna blogspot tak reti sangat nak selenggara walau pun blognya dah ada.