Daily Archives: March 3, 2012

Kerap

Dulu masa aku belajar di sebuah sekolah di Terengganu, aku selalu dengar ayat ini; “Hari-hari mau cakap dakwah, supaya Islam tu masuk dalam hati. Dakwah infiradi dan jama’ie.”

Maka kami pun dibahagi dalam beberapa kumpulan, dan perlu bercakap tentang kebesaran Allah sebelum bersurai untuk balik asrama.

Pesan ustaz lagi, kalau nak dapat sifat tawaduk, pergi bersihkan jamban (atau tempat yang kotor2) untuk menyedarkan diri siapa sangat kita ini, mungkin lebih busuk daripada apa yang kita bersihkan itu.

Encik Hitler pernah cakap, satu-satu perkara kalau disebut selalu, walaupun perkara itu salah, lama kelamaan orang akan percaya juga. Propaganda.

_______________________________________________________________________

Sedikit analisis tentang apa yang kita paling kerap berbicara waktu ini.

Ini mungkin apa yang aku sahaja alami.

Aku cek balik YM dengan kawan-kawan, bab wajib yang akan ada ialah bab kahwin! ahaha

Anda bagaimana?

Kesannya, ada orang yang tak fikir lagi jadi rimas. Atau akan ‘terpaksa’ untuk mula berfikir tentangnya. Atau mula cemas sebab belum menapak ke arah itu. Atau rasa tak laku sebab belum ditaqdim.

Akhirnya ramai pergi ke situ dengan level dan kefahaman yang pelbagai.

Kefahaman yang paling ideal dan universal, kahwin itu fitrah.

Fitrah.

Apa fitrah terbesar kita?

Agama.

Tapi, kahwin sebahagian daripada agama kan.

Hanya jika kita bicara daripada perspektifnya.

Sekurang-kurangnya satu kitab fekah dah kita hadam bab ini. Bukan sekadar guna istilah arab, maka Islamiklah kita. Sama ada dengan mentaqdim (confession) atau  guna perantaraan bait muslim (agen cari jodoh) maka bukan itu penyebab untuk kita berdiam diri daripada mendalami ilmu tentangnya.

_______________________________________________________________________

Dalam perihal galakan (galakan, bukan kewajipan yang qat3ie) untuk pemuda berkahwin pada hadith “ya ma3syara as-shabab” ada juga disebut perihal pemuda yang dikagumi, yang mana kalau kita nampak pemuda yang datang dari serata alam, menekuni ilmu agama, maka perlulah kita meminta nasihat yang baik daripada mereka.

Mungkin galakan yang kedua itu lebih lazat buat pemuda yang sibuk bercinta dengan ilmu.

_______________________________________________________________________

Jom kita kira balik perbualan harian kita, berapa banyak tentang agama berbanding apa-apa yang kita gemari, kerana perkara itulah yang bakal menghuni hati kita.

Cakap agama tapi tak buat, celaka besar di sisi Allah (As-saf:3).

Faham agama, tapi tak cakap, boleh jadi syaitan bisu atau ulamak su’.

Tak faham agama, tapi buat, bakal taqlid buta malah cenderung ke arah bidaah. Nilai ibadah 1000 kali ganda lebih rendah berbanding orang yang faham agama.

Seorang yang berilmu solat dan mengajar ilmunya kepada orang lain, berbanding ahli ibadah yang siangnya puasa dan sepanjang malamnya beribadat – seperti Nabi s.a.w berbanding sahabatnya yang paling rendah martabatnya.

Maka, ada pilihankah kita?

Tak belajar agama kang, dapat dua dosa. Dosa membiarkan diri dalam kejahilan dan juga dosa melanggar perintah atau larangan-Nya atas kejahilan itu.

Belajar kang, dipertanggungjawabkan pula. Kena sampaikan, kena ajak, kena ajar, kena sabar dengan reaksi impulsif manusia, bukan boleh duduk sorang-sorang buat ibadat sendiri-sendiri.

Last-last, kalau tahu sengaja diam sebab takut bakal dipertanggungjawabkan dengan apa yang dicakapkan. Jadi bolehlah berlepas tangan daripada status orang faham agama.

Kalau boleh gelaran ustaz tu pun kena dielakkan, macam jaki ada, macam tak layak pun ada, tapi apa-apa pun takut nanti manusia menilai bukan dengan kaca mata biasa, tapi dengan kanta mata.

Lebih bimbangkan pandangan manusia, walaupun ada asasnya kita dan mereka berpersepsi begitu.

Kalau seorang doktor diperlukan menjaga etika kedoktorannya demi maslahah bidang itu, atau seorang wartawan perlu menjaga etika kewartawanan untuk meslahah bidang itu, maka tidak pula mereka dan kita persoalkan.

Tapi, bila seorang ustaz itu diperlukan menjaga etika (adab atau simat) keustazannya, maka bukan setakat orang luar yang bising, bahkan dalam kalangan mereka pun tak mahu terikat dengan etika-etika tersebut.

_______________________________________________________________________

Ilmu tu ada tiga tangga, pertama kita akan berbangga-bangga dengannya. Kedua, kita akan menjadi tawaduk kerananya, dan yang ketiga kita hanya mampu berkata aku tak tahu!.

Kita, mungkin belum lagi bermula pun naik tangga itu.

ٍSebab tu ulamak yang tulis Wallahu a3lam di akhir tulisan kitab mereka.

Advertisements

Karya 4: Melukut Di Kubah Durjana

Puisi ini telah tersiar di Majalah Tunas Cipta.

Melukut di Kubah Durjana

Kubah itu paginya nirmala
hangat mendakap anak naungan
duduk mereka dihampar mengkuang
dahaga mereka kopi dihidang
berpada, tapi ada.

Di mimbar itu kau,
mengalun khutbah jasa buat sejagat
lantas menuntut kesatuan sarwa jelata.
Ya, di mimbar itu!

Pabila terik, kubah itu
berdendang pula zikir hemat ke sepelosok saf
kipas usang perlu dimatikan, membazir!
Ironinya,
rengekan kudus si anak lantas diwarta
seakan hingar beburung
kala menjambatani kepalamu;
sudahlah sepatah izin pun tiada,
menajis pula ke serata muka.

Sekalian kau hanya memboyot harta
saat kuasa menggendut di persada.
Kau hanya tahu mencongak langit
tidak mahu menuntun bumi,
bimbang terburai perut duniawi
walau hampir sudah ia
terlimpah di tubir bibir.

Di noktah hari ini aku ternanti-nanti
adakah esok terhias buaian wahyu
agar kau segera mendodoi aku,
kerana akulah si anak itu.

Dakwat Fikir
06 Julai 2008, 0329
Teratak Bonda

.

Proses Kreatif: Proses menulis secara mentah aku lakukan dalam tren sebenarnya, tatkala kemarahan terhadap ketua kami ketika itu yang membantai aktiviti kami di sini. ahaha, kiranya ini puisi anti-established yang sedikit melebih-lebih.

Komen Fahd Razy:

Waalaikumusalam

Mula-mula, sementara teringat ni…satu tips. Kalau boleh, cuba
elakkan guna ‘Sang’ atau ‘Si’ dalam puisi. Kalau boleh lah. Ini dari
bacaan saya lah, penulis lain mungkin berbeza pendapat. Bunyinya agak
klise, dan tak puitis. Terutamanya kalau puisi moden. Contoh, Sang
Matahari. Sang Angin. Si ibu. Dan sebagainya. Juga lewah, sebenarnya.
Ini secara umum ya, bukan khusus utk sajak ini atau mana-mana sajak.

Ok, berbalik kepada sajak. Saya suka permainan bahasanya. Cuma dalam
beberapa ketika, atau beberapa bahagian terasa penulis terlalu
memberatkannya dengan perkataan-perkataan yang janggal. Tak mengapa
memasukkan perkataan-perkataan sebegitu, bahkan saya mengesyorkan.
Tetapi perlu berpada-pada supaya tidak mengganggu. Terutamanya dari
segi kelancaran bacaan. Sila rujuk emel saya sebelum ini yang mengulas
puisi Siddiq Osman tentang keterletakan rima. Ahah…Kali ini kita
masuk bab baru pula…Asyik- asyik bab ‘klise’ dan ‘tanda baca’ saja,
kan? (Nasib baik tanda baca yang ini lulus, tahniah! ) Satu petua,
kebanyakan perkataan-perkataan yang jarang diguna, walaupun bukan
bombastik sangat pun, bunyinya memang agak kasar dari segi sebutan
(bukan kasar makna). Mungkin, sebab tulah, perkataan2 ni
jarang/janggal diguna. Tapi tak semua perkataan begitu. Jadi kena
pandai susun, dan pilih.

Rangkap 4 sangat baik. Saya suka.

Abd Rahim, jangan lupa hantar ke media. Kamu antara ahli2 GKLN yang
saya tunggu karyanya di media cetak…potensinya besar. Termasuklah
orang morocco lain, Ainaa, Alfanani, Khadijah, Alimmujahid, dll.
(lagipun orang Morocco tak ada yang tembus suratkhabar lagi,
kan…padahal tu lubuk ahli GKLN yang berbakat belaka)