Daily Archives: March 10, 2012

Karya 5: Azimat Seru

Puisi ini adalah puisi yang aku tulis untuk dihantar pada pertandingan Sayembara Puisi Maghribi 2008 (SEMPURI 2008). Tapi kalah, dan antara komen juri adalah penggunaan perkataan arab yang terlalu banyak menipiskan peluang untuk menang. Apparently, puisi yang menang tu pun memang superb!

Jadi, puisi ini tiada komentar sebab tak dihantar di grup.

Selamat menukang karya!

.

Puisi ini telah tersiar di akhbar Berita Harian bertarikh 20 September 2008.

Azimat Seru
 
Fikir itu membawa aku ke satu jazirah
langsung ke sudut itu, Bakkah.
Betapa lembang itu gersang dulu
kering, berkuping-kuping
saat rekah umat bagai takkan ketemu
noktah aman kian kelabu.
 
Namun kaurenjis jua liurmu
kendati kian likat, kelat
buat damak-damak hidayah
menusuk liat ke lurah hati
yang gelap nan pekat.
 
Kaukikis kudis kepuakan, lantas
kausapu penawar  syahadah
di atas tali Muhajirin dan Ansar
beralaskan sutera ukhuwah.
 
Pernah,
kauratip sendu kasihnya Ilah,
kauratap sayu hilangnya Khadijah,
kautatap kaku syahidnya Hamzah,
kaurentap ego pamanmu turus Jahiliah.
 
Kini laungan yang kauserak
mencakah seinci demi seinci
hingga terendus aku haruman itu
jauh di khatulistiwa ini
dek gaharu azimat serumu.
 
Oleh Dakwat Fikir
14 Mac 2008, 08.40,
Bouhlal, Rabat.
Advertisements