Category Archives: KaryaDia

D.I.A di Tunas Cipta Disember 2008

tc-disember-08

Gerak hati untuk berkunjung ke laman kak Nisah Haron sungguh tidak sia-sia. Terlihat nama ini lagi! Kali ini puisi tentang kesedihan apabila kehilangan.

Antara karya dalam Tunas Cipta Disember 2008:

Sejambak Ilham (Puisi)

1. Diri dan Keinsafan (Jj. Alya, Tanjong Malim, Perak)
2. Bingkai Hidup (Dakwat Fikir, Beanntrai, Ireland)
3. Aku (Zarina, MPR 2006)
4. Dunia Malam (Muhamad Fairuz Ali, Jerantut, Pahang)
5. Burung Hijau (Fathi Yusoff, Pasir Puteh, Kelantan)
6. Demi Masa (Tinta Amira, Banting, Selangor)
7. Angin Sanubari (Amelia Fauza Bohari)
8. Merdekakan Hatimu (Ainil Muaiyanah Sulaiman)
9. Mencantum Kain (Ludinata Misnun, Esastera.com)
10. Ceritera Kudupan Bunga (Raehan Intisor)
11. Renta Sehelai Daun Jingga (ZANAZANZALY, Pameran AADK, Kota Bharu)
12. Seperti Derai Daun Muda (Gerimis Pelabuhan, Klang, Selangor)
13. Cinta Kimia dan Sedikit Biologi (Johari Rahmad, Petaling Jaya)
14. Titis-titis Anugerah (Anis Hj. Shaari, Teratak Ayahbonda, Kupang)

Kebelakangan yang tersenyum.

-Cahaya Atas Cahaya-

Advertisements

Allah, Adakah Harga Buat Galang Mereka?

Belasungkawa

Abu Bakar bin Abdullah

Abu Bakar bin Abdullah

Beliau ialah moyang di sebelah bapa. Berumur hampir 120 tahun dan tinggal di Muar. Pergi mengadap Ilahi kerana sakit tua.

Hari ini
menghiris aku lagi,
menebak sukma
yang sekian lama lesu,
membarah, menjarah hampir parah
hanya harap mampu lagi
untuk tidak mati.

Allah,
hela ini mengadu
dalam hempedu.
Kurniakanlah!
barang sepotong harga
buat galang kepergian dia,
kan kugadai semuanya.

-Cahaya Atas Cahaya-

D.I.A di Tunas Cipta – Nov. 2008

November 2008

Sebagaimana kita ketahui, majalah Tunas Cipta telah dimerdekakan daripada jajahan Dewan Sastera. Maka sempena kelahiran TC ini secara solo, dibawakan bersama senarai karya yang terpilih.

Sejambak Ilham (Puisi)

1. Pancaindera (Sahibul Anuar Asrani, SK Dit Debak, Sarawak)
2. Demi Sebuah Hidup (Juwita MN, Shah Alam)
3. Salahkan Siapa (Siti Rabiatul Adawiyah ABdul Hadi, ASWARA)
4. Timbunan dan Angin Berdarah (Shahril S.M., Ranau, Sabah)
5. Puisi Kasih Buat Kanda (Hasni Jamali)
6. Tuah Jebat (Mariam Mohamed, Kampar Perak)
7. Kembara Harapan (Zuraine Mahadun, Jasin Melak)
8. Kasih Kita (Mata Pena Cinta, Dungun, Terengganu)
9. ‘Syukran’ Wahai Tuhan (Siti Aisyah Mat Saad, Ranau Sabah)
10. Sebuah Kisah Rindu Ramadan (Munira Latip, Batu Berendam, Melaka)
11. Pedagang Suci (Mohd. Fahmi, Sungai Batu, Kuching)

Luahan Minda (Surat Pembaca)

1. Abdul Rahim Zainudin, Bouhlal, Rabat, Morocco
2. Muhammad Shafiq Ikhwan, Sungai Buluh, Selangor
3. Wadiassofi bin Jaafar, Alor Setar, Kedah

Bicara Tunas
Sri Rahayu Mohd Yusup – Satu Karya Dua Anugerah

Puisi Tradisional
Gurindam Pengguna Bestari – Mustaffa Hj Siraj, Batu Pahat, Johor

Nukilan Pena (Cerpen)
1. Bilik Di Bawah Tangga (Wan Nor Azriq Wan Mokhtar)
2. Nuha Imani (Zul fikri Mohamad Munir)
3. Namanya Willem de Kooning (Hafizah Iszahanid)
4. Tulip Biru dari Anatolia (Azmi Haji Ibrahim)
5. Doktor Seorang Ahli Kaji Bumi (Muhammad Teja)

Buah Pena Alumni MPR
Hafizah Iszahanid (MPR 1994)

Resensi Novel
Su Lijah (Wikunila MS)
oleh Faezah Muhayat

Esei Bulan Ini
1. Menukang Karya Secara Kreatif (Faisal Tehrani)

2. Kitalah Apa Yang Kita Tulis (Nisah Hj. Haron)

Ulasan Cerpen
Mencari Hakikat Jati Diri – Siti Hajar Che Man

Ulasan Sajak
Ekspresei Tentang Diri dan Manusia Lain – A. Halim Ali

Drama
Pusaka (Bahagian Kedua) – Rahmad Hidayat Sabari

Himpunan Tinta
Kalam : Aktif dan Mengamalkan Prinsip Organisasi Berkasih Sayang

Novel Bersiri :
Nama Eng Bahlut (Siri 11)
Faisal Tehrani

Harap mana2 pihak yang ada terlihat majalah ini dapatlah membelinya segera andai mahu tahu apa yang d.i.a perkatakan di situ.

-Cahaya Atas Cahaya-

D.I.A di Berita Harian

( Sabtu,20 September 2008 )

Salamullah alaikum.

Ketika sedang bermalas-malasan menunggu penerbangan yang berbaki 36 jam di Luton Airport, tergerak hati untuk melayari internet. Meninjau-ninjau deretan email yang sampai, mata tiba-tiba tertancap pada tajuk “Tahniah kepada sdr Dakwat Fikir ( Abdul Rahim)”. Tertanya-tanya juga apa gerangan halnya. Lantas dibuka dan rupanya-rupanya puisi d.i.a yang bertajuk Azimat Seru telah tersiar di akhbar Berita Harian bertarikh 20 September 2008, hari Sabtu.

Sungguh-sungguh tidak sangka berjaya juga tembus ke media. Ini adalah karya pertama yang berjaya ke akhbar utama Malaysia yang diketahui amat kompetatif saingannya.  Syukur!

Jika mengikut perkiraan d.i.a, ini adalah puisi yang ketujuh yang dikarang semenjak menceburi bidang penulisan puisi ini secara lebih intensif.

Klik di sini untuk capaian puisi tersebut.

Gambar ini di BH, akhirnya.

Gambar ini di BH, akhirnya.

-Cahaya Atas Cahaya-

Ramadhan Al-Mubarak

Salamullahi alaikum.

Setelah lama tak menyelak blog ni, tiba2 rasa macam nak menyingkap sekejap. Tak tahu kenapa hati mati untuk mencoret, walau inspirasi datang dan pergi.

Bercerita tentang Ramadan (ejaan Melayu) Al-Karim kali ni, sesuatu yang luarbiasa unik buat d.i.a. Punca utama adalah disebabkan inilah kali pertama d.i.a berpuasa di negara orang, ditambah pula di tempat yang Muslimnya ialah minoriti. Jadi, Ramadan di sini seperti hari2 biasa yang dilalui selalu, tiada tadarus sekampung, tiada ihya’ Ramadan, malah tiada tarawih di masjid (sebab memang tak ada masjid pun).

Akan tetapi bukanlah isu besar sebenarnya ada masjid atau tidak, sebab akhirnya kita juga menjadi penentu sama ada mahukan Allah atau tidak. Sebenarnya inilah poin d.i.a hari ni, ” Kemahuan Kepada Allah “.

Realiti di sini, Muslim boleh dibilang dengan jari. Sampaikan terkadang teruja kalau terlihat seorang Muslimah yang bertudung. Merenung mereka hingga termalu sendiri. Bukti rindu akan biah solehah! Mahu Tuhan.

Di hospital tempat abang ipar d.i.a bekerja, terdapat hampir 10 orang Islam yang berkhidmat sebagai doktor. Kebanyakannya dari Sudan, ada dari Libya juga Pakistan. Di kala Ramadan menjelang, tarawih adalah antara amalan yang diusahakan. Atas dasar ingin menghidupkan malam Ramadan, melahirkan ‘markaz’ tarbiah jiwa di celah2 stor menyimpan fail pesakit di dalam sebuah container, betul2 di belakang bangunan hospital. Di situlah tempat mereka mengasah pedang2 jihad yang mungkin karat dek hujan yang sentiasa membadai. Agak terkejut kerana mereka juga solat Jumaat dan membaca Al-Quran di situ, malahan terletak kemas kitab Ihya’ Ulumuddin, Sahih Bukhari, Riyadus Salihin dan pelbagai jenis lagi kitab feqh buat rujukan. Dengan komuniti yang amat kecil, mereka masih cuba dan mampu menghidupkan roh Islam. Bangga! Mereka ingin Tuhan.

D.i.a pula menjalani Ramadan dengan amat bermakna. Bertugas menjadikan d.i.a lebih memahami apa itu ‘reda’ dan ‘korban’. Reda dengan penat yang diberi, melayan kerenah dua orang anak saudara yang amat lincah dan renyah sudah tentu memeritkan. Namun direda dengan hakikat bahawa ibunya lagikan mahu pengsan dengan ragam mereka, lebih2 lagi ia sedang mengandung. Adakah ini pengorbanan? Mengorbankan ingin hati mencari laba di kandang orang. Akan tetapi andai diteliti kembali, bukankah mengenepikan ‘ingin hati’ itu adalah pengorbanan juga, malah lebih besar?

Berbalik kepada Ramadan kali ini, d.i.a diminta untuk menjadi imam tarawih di ‘surau’ hospital. Sudah tentu satu penghargaan yang amat besar, sementelah makmum2 adalah kalangan Arab. D.i.a merasakan mereka lebih layak di kedudukan itu kerana pastinya mereka lebih fasih Bahasa Arabnya berbanding d.i.a. Namun mereka tetap mahukan d.i.a, atas kapasiti “Al-Hafiz” katanya. Agak berderau juga pabila mula mengimami dan memperdengarkan alunan Al-Quran kepada mereka, janggal pun ada. Namun, lama kelamaan perasaan itu beransur2 hilang, timbul pula rasa seronok. Mula2 baca dua helai sahaja satu malam. Tetapi syok punya pasal, sekarang ni empat hingga lima helai satu malam (setengah juz tu, macam tak percaya pun ada). Makmum yang pada awalnya hanya dua orang, kini mencecah tujuh orang. Sedikit tapi hampir semua, kan? Bila difikirkan balik, kesibukan mereka bagai menjadi penghalang untuk mereka mereka untuk solat bersama. Tapi mereka tetap terus bersama walaupun sedang on call! Semangat damba Allah!

Pedang pejuang
garang menghunus nafsu sembahan
di perang Ramadan.
Menikam karat hati
meronta
damba dingilir
dengan linciran taubat,
hingga terpantul silaunya
di celah bilah-bilah mereka
dek asahan yang acap.

Dakwat Fikir
090908, 1405,
Bantraai.


-Cahaya Atas Cahaya-

Melukut di Kubah Durjana

Kubah itu paginya nirmala
hangat mendakap anak naungan
duduk mereka dihampar mengkuang
dahaga mereka kopi dituang
berpada, tetapi ada.

Di mimbar itu dia,
mengalun khutbah jasa buat sejagat
lantas menuntut kesatuan sarwa jelata.
Ya, di mimbar itu!

Pabila terik, kubah itu
berdendang pula zikir hemat ke sepelosok saf
kipas usang perlu dimatikan, membazir!
Ironinya,
rengekan kudus si kecil lantas diwarta
seakan hingar beburung
kala menjambatani kepalanya;
sudahlah sepatah izin pun tiada,
menajis pula ke serata muka.

Sekalian dia hanya memboyot harta
saat kuasa menggendut di persada.
Hanya geliga mencongak langit
tidak sudi menuntun bumi,
bimbang terburai perut duniawi
walau hampir saja terlimpah ia
di tubir bibir.

Di noktah hari ini aku ternanti-nanti
andaikan esok akan terhias buaian wahyu
agar engkau segera mendodoi aku,
kerana akulah si anak itu.
Dan kubah itu engkau!

Dakwat Fikir
06 Julai 2008, 0329,
Teratak Bonda

Azimat Seru I

Fikir itu,
membawa aku ke satu
jazirah
terarah terus ke sudut
Bakkah
betapa lembang itu gersang dulu
kering, keping, berkuping,
rekah umat bagai takkan ketemu
noktah yang satu jauh berbatu.

Namun,
kaurenjis jua liurmu
kendati kian likat, kelat
buat damak-damak hidayah
mengalir liat ke lurah hati
nan gelap memekat.

Kaukikis kudis kepuakan
kausapu penawar
syahadatain
sutera
ukhuwwah itu kaubalut
dengan ikatan Muhajirin dan Ansar.

Pernah,
kauratip sendu kasihnya Ilah
kauratap sayu hilangnya Khadijah
kautatap kaku syahidnya Hamzah
kaurentap ego pamanmu turus Jahiliah.

Kini,
seru yang kauserak
mencakah seinci demi seinci
hingga terendus aku wangian itu
jauh ke khatulistiwa sini,
horizon ini bagai terkesima
dek gaharu kalimah
taiyyibah.

Betapa kau,
tak perlu menampuk takhta
tak pernah menakung harta
buat diaspora sang azimat
ke saentero umat.

Dakwat Fikir
14 Mac 2008, 0840
Full House.

Berikut adalah puisi yang d.i.a rakamkan atas rasa kekaguman buat Rasulullah s.a.w. Puisi ini d.i.a karang sudah agak lama, sekitar bulan Mac; sempena Maulidur Rasul. Sesungguhnya saga pengorbanan Baginda amatlah panjang dan begitu signifikan buat tatapan Jilul Mansyud (generasi yang diseru).~Mudah-mudahan kita sebahagian daripadanya~

Dewasa ini, sering kita terdengar rungutan ibu bapa beragama Islam tentang kesukaran mereka mendapatkan buku-buku sejarah Nabi buat peneman anak-anak mereka ketika ‘sesi membaca buku sebelum tidur’. Pasaran hanya dipenuhi dengan cerita-cerita dari Barat yang kadang kala boleh mencemar akidah. Maka, menjadi satu tanggungjawab untuk kita menyediakan alternatif yang sepatutnya bagi menggantikan lambakan buku-buku yang tidak bertunjangkan Allah tersebut.

Apa relativiti antara sesi ‘story tale‘ dan keperluan untuk mengajar anak-anak tentang sejarah Nabi? Sebenarnya memahami sejarah Nabi adalah medium yang paling ampuh untuk menghayati Islam itu sendiri.

D.i.a ingin membawa pemikiran kita semua ke arah memikirkan kembali peranan yang sepatutnya dimainkan bagi membantu si anak menghayati Islam sedari kecil lagi.

Nantikan di enti yang akan datang…

Cahaya Atas Cahaya.

Rencana Darul Nadwah

Hari itu engkau
terendus tengiknya rencana Quraisy,
licik suara dari Darul Nadwah
mencadang seratus satu rancang
mencanang seribu satu tualang.

Rangkap pertama daripada sajak dia yang bertajuk Rencana Darul Nadwah, sajak yang akan dibukukan dalam antologi Bahasa Bumi; bakal diterbitkan sedikit masa lagi. Bersabar…

Dia ingin membawa serba sedikit kisah yang berlaku di Darul Nadwah.

Rujukan : Al-Raheeq al-Makhtum.

PERBINCANGAN KRITIKAL Dl DARUL NADWAH PARLIMEN QURAISY


Bila mana pihak musyrikin quraisy mendapati pengikut-pengikut Muhammad (s.a.w) telah
bersedia dan keluar dengan membawa bersama-sama mereka keluarga, anak-anak dan hartaharta
mereka ke pangkuan al-Aws dan al-Khazraj, terjadilah keributan suasana kebisingan,
kesangsian dan dukacita di kalangan kafir Makkah, perbagai kegelisahan dan ramalan-ramalan
yang bakal mereka hadapi di masa-masa akan datang, bahaya besar sedang menunggu
mereka; yang kelak akan mengugut dan menggugat kestabilan ekonomi, kekayaan dan entiti
idealogi berhala mereka. Sebenarnya mereka sudah mengenal pasti dengan keperibadian
unggul Muhammad (s.a.w) dan dengan kepimpinannya yang berkesan lagi mempengaruhi, di
samping keazaman yang tekad, keiltizaman yang utuh dan semangat pengorbanan yang luar
biasa, disokong pula oleh kekuatan dan daya pertahanan oleh al-Aws dan al-Khazraj
diperkayakan pula oleh kekuatan cendikiawan dan ahli fikiran kedua qabilah yang memiliki
kedewasaan berfikir untuk kesejahteraan dan keimanan bersama, serta sanggup menolak
perasaan kesumat lama yang pernah memusuhi mereka, manakala potensi dan kekuatan ini
telah diduga oleh pihak Quraisy, untuk itu mereka harus membuat perhitungan yang paling bijak
dan tepat bagi mengatasi ancaman sebelum terlambat, pada hemat mereka.

Sebagaimana juga mereka mengetahul posisi al-Madinah yang strategik itu sendiri, bila ianya
berkonfrontasi terutamanya dengan qabilah perniagaan mereka yang merupakan laluan tetap
dari Yaman ke negeri al-Syam yang semestinya melalui persisiran laut Merah. Dianggarkan
penduduk Makkah berurus niaga ke negeri al-Syam sahaja sebanyak sukujuta dinar emas
setiap tahun, tidak termasuk milik penduduk al-Taifdan lain-lain. Mereka juga mengetahui
selama ini, itulah laluan yang menikmati kesejateraan dan keamanan.

Pihak Quraisy sudah menelah bahaya yang bakal mengancam mereka dan perniagaan
sekiranya kekuatan Islam berpusat di Madinah.

Pihak Quraisy sudah pun peka akan bahaya dan ancaman yang bakal mengugat diri mereka.
Oleh yang demikian, maka mereka bersungguh-sungguh mencari sebaik-baik jalan untuk
menolak mara bahaya dan ancaman ini, keaemuanya berpunca dari pendokong obor dakwah
Islam iaitu Muhammad (s.a.w).

Tanggal 26 Haribulan Safar tahun keempat kebangkitan Rasulullah bersamaan 12 haribulan
September tahun 622 Masihi pihak Quraisy telah mengadakansidang Parlimen (Darul Nadwah)
di pagi hari iaitu hampir dua bulan setengah setelah berlalunya Baiah al-‘Aqabah al-Kubra yang
merupakan satu sidang yang amat penting dan kritikal dalam sejarah Quraisy, seluruh
perwakilan kabilah-kabilah Quraisy telah menghantar anggota-anggotanya, membuat
perbincangan dan merencana satu pelan tindakan yang tegas untuk menghapus secepat
mungkin pembawa obor-obor dakwah Islamiah dan dengan itu terputus sudahlah arus
cahayanya buat selama-lamanya.

Tokoh-tokoh perwakilan yang menonjol di dalam perjumpaan itu ialah:
1. Abu Jahal bin Hisyam mewakili qabilah bani Makhzum.
2. Jubair bin Mutaam, Tai’mah bin Adi, dan al-Harith bin Amir mewakili Bani Naufal Ibn Abdul
Manaf.
3. Syaibah dan Utbah kedua-dua anak Rabiah dan Abu Sufian bin Harb, mewakili bani Abdul
Syams bin Abdul Manaf.
4. al-Nadhr bin al-Harith (orang yang mencampakkan pundi-pundi najis sembelihan ke atas
Rasulullah di Kaabah semasa baginda bersembahyang) mewakili Banu Abd al-Dar?
5. Abu al-Bukhturi bin Hisyam, Zama’h bin al-Aswad dan Hakim bin Hizam mewakili banu Asad
bin Abd al-Uzza.
6. Nabyah dan Manbah kedua-duanya anak lelaki al-Hajjaj mewakili bani Sahm.
7. Umaiyah bin Khalaf mewakili Bani Jumah.

Semasa mereka sampai ke Darul al-Nadwah seperti yang dijanjikan, mereka telah dihalang
seketika oleh Iblis yang menyamar dengan berpakaian seperti seorang syeikh yang mulia iaitu
pakaian ahli zuhud. Iblis berdiri di pintu masuk lalu mereka semua bertanya: “Siapa tuan syeikh
ini?” Jawab Iblis: “Aku seorang syeikh dari Najd telah mendengar berita perjumpaan ini dan aku
datang untuk mengikuti perbahasan kamu semoga aku boleh menyumbang sesuatu yang tidak
merugikan kamu, pendapat ataupunnasihat”. Lantas mereka pun menjawab, “Betapabaiknya
cadangan itu, ayuh! persilakan masuk”.
SIDANG DARUL AL-NADWAH DAN PERSETUJUAN DENGAN KEPUTUSAN DURJANA
UNTUK MEMBUNUH RASULULLAH (S.A.W)

Setelah bilangan keanggotaan majlis mesyuarat Dar al-Nadwah sempurna dengan kehadiran
mereka, maka perbahasan pun bermula, disusuli dengan saranan dan cadangan. Di antaranya
ialah pendapat Abu al-Aswad: “Kita keluarkannya dari sini dan buangnya ke negeri lain.
Selepas itu kita usah pedulikannya, ke mana dia hendak pergi dan jatuh. Kemudian kita
‘pulihkan’ semula masyarakat kita ini”.

Kemudian berkata pula Syeikh dari Najd tadi: “Demi Allah, kamu tidak ada pendapat lainkah?
Tidakkah kamu perhatikan bahawa Muhammad ini seorang yang petah bercakap, dengan katakatanya
yang halus dan manis, serta berupaya mempengaruhi dan menawan hati orang? Jika
kamu berbuat demikian, kamu tidak akan selamat, kerana beliau akan memasuki ke
perkampungan dan pedalaman Arab yang lain dan setelah itu beliau akan memimpin untuk
menentang dan melanyak kamu semua dan membuat apa sahaja yang dikehendakinya.
Kata Abu al-Bukhturi, “Kamu penjarakannya dalam kurungan besi, tutup pintunya sebaikbaiknya,
dan kamu kawalkannya serta tengok apa akan terjadi, sebagaimana berlaku ke atas
penyair-penyair yang sebelumnya seperti Zuhair dan al-Nabighah yang menemui kematian
seperti ini, biarlah dia merasa sepertimana mereka itu rasaiya.

Kata Syeikh al-Najdi, Demi Allah, ini bukan pendapat yang baik, demi Allah kalau kamu
kurungkannya sedemikian rupa pun akhirnya ceritanya itu akan bocor keluar dan sampai ke
pengetahuan pengikut-pengikutnya kemudian mereka itu pun akan menyerang kamu, kemudian
membebaskannya dari tangan kamu, setelah itu akan bertambah pengikutnya, seterusnya
menghalangkan kamu semua, pendapat ini tidak boleh dipakai, cuba cadangkan pendapat lain.

Selepas persidangan Dar al-Nadwah menolak dua cadangan yang dikemukakan itu,
dikemukakan pula cadangan yang paling nekad dan terkutuk, ianya mendapat persetujuan
seluruh anggota sidang, dikemukakan oleh kepala samseng dan jenayah Makkah Abu Jahal bin
Hisyam. Kata Abu Jahal, “Demi Allah, sesungguhnya aku ada satu pendapat yang kamu tidak
nampak”. Kata mereka, “Apakah pendapat itu wahai Abu al-Hakam?” Jawab Abu Jahal, “Aku
melihat di mana setiap kabilah haruslah dipilih seorang pemuda tangkas dan lincah kemudian
kita serahkan kepada setiap mereka sebilah pedang yang tajam, untuk mereka gunakannya,
dengan cara mereka menetak Muhammad serentak maka tamatlah riwayat Muhammad dan
kita pun boleh berehat, kerana bila mereka lakukan cara ini bererti semua kabilah
bertanggungjawab dan banu Abdul Manaf tidak terdaya untuk memerangi kesemua qabilah ini,
sebagai gantiannya mereka akan berpuas hati dengan pembayaran diah (pampasan).

Ulas Syeikh al-Najdi, “Pendapat yang sebenar adalah sepertimana yang disebut oleh Abu al-
Hakam, dan aku pun berpendapat sedemikian juga”. Sidang Dar al-Nadwah pun sebulat suara
menerima cadangan yang terkutuk itu, mereka pun pulang ke rumah masing-masing dengan
penuh keazaman, di mana cadangan dan keputusan itu akan dilaksanakan dengan serta-merta.

Hamicha : Dia meng’update’ entri ini pada hari Rabu, 25 Jun 2008, 1.30p.m. atas keperluan yang tertentu.

The Season Of Us

Since the old book getting older,
shall I open a new book again?
Or just let the reader amazed
by its renewable chapter?

Once in a tine of Spring’s day
while the roses and tulips competed a space, occupied
claiming their place to brighten the land
thou came in the midst of madness bustle, suddenly
greeted me the whitest flower.

Asked me, “Just blow your pale heart away”.
“Your solitude will be thrown”, murmured me.

The whisperer,
decorated my empty-love hurted-garden
watered my dry-hopeful pond
gave me star and moon
tied with grass and root, together.

I ranaway from the cold of December
into this sparkle of March.

Dakwat Fikir
13 March 08, 1530
Mudarraj Elhabbabi

SEMPURI 2008 : Rantaian Memori

Assalamualaikum w.b.t

Dia telah menyertai Sayembara Puisi Maghribi 2008( SEMPURI 2008 ), baru-baru ini.

Dingin pagi ini,
mencucuk-cucuk rongga sendiku
menggigit-gigit sumsum hitamku
menggamit-gamit selaut rinduku
mencari-cari hangat kasihmu.

Akh,
rindu ini
membawa aku ke satu dimensi
menerawang ke ruang kosong nan sepi
saat rantaian memori menjengah kembali.

Dia bawakan dua rangkap puisi Rantaian Memori buat tatapan mereka. Sengaja tidak didedahkan keseluruhannya kerana puisi ini akan dibukukan di dalam sebuah antologi yang sedang diusahakan.

Di sini, dia ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan penghargaan dan rasa terima kasih kepada pihak penganjur sayembara ini, Grup Karyawan Luar Negara ( Maghribi ) kerana memilih karyanya sebagai pemenang SAGUHATI Pertama. Sebagai penyertaan pertamanya dalam sayembara sebegini, sudah tentu saguhati ini amat bermakna dan insyaAllah akan menjadi motivasi baginya untuk menghasilkan karya yang lebih baik pada masa akan datang.

Cahaya Atas Cahaya

Dakwat Fikir.

Hamicha : Dia mengupdate entri ini pada hari Rabu, 25 Jun 2008, 1.45a.m. atas sebab yang perlu.