KARYA

Akhirnya berjaya juga aku berjumpa dengan anak sulung aku (karya pertama akulah tuh) setelah puas mencari di kotak e-mel.

Basically konsep yang aku nak bawakan adalah meletakkan puisi aku di sini, kemudian aku akan bercerita serba sedikit tentang proses penulisan tersebut, dan unsur-unsur sastera yang cuba aku masukkan. Seterusnya sudah tentulah kritikan daripada otai-otai GKLN terhadap karya aku.

Jom kita menukang karya!

_____________________________________________________________

Matahari itu….

Baru kelmarin mentari itu…
Sinarnya terang tarinya tualang
Seisi bumi silau memandang
Kata tuturnya jelas lantang
Syurga itu tempat bertandang
Kerana kayangan itu cuma setangga berselang

Saat tidur sang mentari…
Bayu menghembus memeluk sinis
Merenung keras lagak pesimis
Desasnya mengikis desusnya menghiris
Namun sang mentari itu
Tetaplah ia menguntum manis
Walau iris bergenang  gerimis

Tapi semalam mentari itu…
Sinarnya kurang tualangnya tempang
Terdetik bumi ke mana omongnya terbilang
Mungkinkah syurga itu menutup gerbang
Atau ia sendiri bermimpi panjang

Susuk bayu menerpa kembali
Terbahak kejam menyorot sang mentari
Tusuknye tuli tikamnya benci
Sengsara diri ratapnya fardi
Nista dicerna lumat sendiri

Kala petang, mentari itu…
Pudar cahaya malas dipandang
Rajukkan diri marahkan siang
Namun datang semesta memeluk girang
Mohon Ilah pasakkan tiang

Ironi sang bayu terjah menggertak 
Benci sangat bagai dibentak
Katanya usah dibaja petualang  yang benak
Takkan ia menangkis onak

Hari ini, sang mentari itu…
Tenang berdiri mencancang kaki
Walau terpasung dek umpat keji
Secangkir cahaya melimpahi bumi
Cukup menyenangkan rahmat Ilahi

Gegak semesta gempita cakerawala
Bersorak kata bertepuk gembira
Saat semayam di mahligai syurga
Berdendang nyanyian bahasa Pencipta

QALBIAISH
28 Disember 2007

Abdul Rahim bin Zainudin
Universiti Mohammed El Khomis 
Rabat, Morocco.

.

Proses Penulisan:

Aku menulis puisi ini sebagai tribut kepada tokoh politik Pakistan, Benazir Bhutto yang mati dibunuh. Aku cuba menggambarkan ketabahan beliau dalam melayari renyah politik yang adakala disanjung dan memiliki ramai pengikut, dan dalam masa yang sama dibenci yang akhirnya membawa kepada kematiannya.

Akhirnya beliau ‘tersenyum’ di syurga. Satu doa.

Unsur Sastera: Aku cuba memasukkan unsur asonansi seperti dalam baris ini: Desasnya mengikis desusnya menghiris (asonansi huruf S)

Komen dan Kritikan: Ha, bab ini adalah bab yang paling best sebab puisi ini dinilai oleh orang yang agak autoriti juga dalam bidang puisi.

Well, ini anak sulong kan, jadi faham-fahamlah. Serius, aku baca sekarang memang gelak je. Tapi agak impresif jugalah sebab tidaklah kosong terus daripada unsur sastera kan?

Komen ini adalah daripada Dr. Fahd Razy, beliau adalah pengasas GKLN ini, seorang doktor perubatan dari R. of Ireland. Telah memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-Exxon Mobil (HSKU) beberapa kali. Sebab tu aku cakap beliau agak berautoriti dalam menilai karya.

……………………………………………

“Saya tak tahu kenapa, melihat tarikh puisi ini
ditulis, merasakan seolah-olah puisi ini ditujukan
untuk Benazir Bhutto. Mungkin kerana isu tersebut
yang sedang diperkatakan sekarang, Sky News tak henti
ulang tayang berita sama semalam (walaupun saya punya
pandangan yang bukan berbeza tentang Benazir, tapi
kematiannya tetap satu tragedi untuk umat Islam yang
makin parah, seriau rasanya). Juga melihat
pengakhiran sajak ini yang membayangkan
pemergian/kematian, khasnya pada baris:

“Saat semayam di mahligai syurga”

Jika telahan saya benar, sedikit cadangan, supaya di
bawah tajuk puisi diletakkan sedikit nota, dalam
kurungan. Misalnya:

Matahari itu….
(Untuk Benazir)

Ini penting, terutamanya dalam puisi yang
seratus-peratus (atau hampir 100%) simbolik seperti
puisi Abd Rahim. Jika telahan saya salah sekalipun,
nota tersebut tetap digalakkan untuk memberi ‘hint’
kepada pembaca akan mesej pengarang. Bahkan, saya
yakin, membaca puisi sdr Abd Rahim ramai yang
tertanya-tanya apakah yang dimaksudkan, matahari?
Bayu? Kayangan? Tentang ozon ke?

Seterusnya, masih lagi tentang tajuk. Mengapa perlu
ada tiga titik berturutan itu (bahkan empat
sebenarnya)? ???? Setiap penulis GKLN, yang tampil
dengan kesalahan sama saya anggap sebagai ahli baru,
yang tak baca komen saya sebelum ini. Termasuklah tiga
titik pada akhir baris pertama setiap rangkap,
walaupun tidak salah, tetapi merosakkan ‘fluency’
sajak itu. Buang saja. Letak koma, kalau mahu juga
letak sesuatu.

Seterusnya, seperti yang saya sentuh, puisi ini
sepenuhnya bermain dengan simbolik. Satu tafsiran
saya, (yang mungkin saja salah), matahari menjadi
simbol ‘ketokohan’. Satu watak yang berperanan besar
dan dominan dalam masyarakat, seperti mana matahari
itu sendiri sangat penting dalam menjana enjin
ekosistem kita. Tetapi jasa dan sumbangan matahari
tidak direstui ‘bayu’. Baca saja rangkap ini:

Susuk bayu menerpa kembali
Terbahak kejam menyorot sang mentari
Tusuknye tuli tikamnya benci
Sengsara diri ratapnya fardi
Nista dicerna lumat sendiri

juga rangkap ini…

Ironi sang bayu terjah menggertak
Benci sangat bagai dibentak
Katanya usah dibaja petualang yang benak
Takkan ia menangkis onak

Walaupun tentangan yang disuarakan oleh sang bayu,
matahari tidak putus asa,( Walau terpasung dek umpat
keji/ Secangkir cahaya melimpahi bumi ) sehingga
akhirnya matahari bersemayam di syurga. Mungkin
tafsiran ini salah satu versi yang boleh kita dapati
daripada puisi ini. Terserah kepada penulisnya, untuk
menerangkan selepas ini, maksud yang dibawa. =D

Walaupun penuh dengan simbol, puisi ini masih lagi
bertampung dengan klise. Perlambangan ‘matahari’ itu
sendiri suatu yang klise, walaupun dilihat ada usaha
yang bersungguh untuk menonjolkannya dalam rupa yang
baru, itu strategi yang cemerlang! Tapi pandangan
saya, strategi Abd Rahim ini kurang berjaya kerana
puisinya terlalu meleret bercerita, ulang-mengulang
akan hal yang sama. Lambang ‘matahari’, walaupun
klise, tetapi ditonjolkan dalam suasana baru, menjadi
baru…tetapi apabila terlalu dihuraikan, diceritakan
bertele-tele, maka akhirnya tanpa disedari, akan
terserlah aspek-aspek klisenya.

Dari segi pemilihan katanya, saya rasa Abd Rahim punya
bakat, puitis orangnya. Berpotensi. Cuma olahan dan
cara/teknik memaparkannya perlu diperbaiki.
Analoginya, kalau nak decorate rumah, dengan kata
lain, Abd Rahim pandai menghias, letak pasu, bunga,
bingkai etc, tetapi kurang dari segi reka letak supaya
perabot2 itu berfungsi. Block jalan ke tak. Boleh buat
orang terlanggar ke tak. Dsb.(hmmm. macam dah start
melalut pula saya ni…=D)

Apa2pun…teruskan menulis!!! Satu-satunya cara
mengatasi apa yang kata ini, bukan dengan mengedit
sajak ini. Tetapi dengan menulis lebih banyak sajak!

Eid Mubarak!”

…………………………………….

Manakala ini pula adalah kritikan daripada senior aku sendiri, saudari Khajidah Khalilah Abdul Rashid.

Assalamualaikum,

Pertama kali,tahniah pada Rahim atas puisi yang dihasilkan.”Junior” saya ni minta saya memberi pandangan saya terhadap puisinya.Saya terlewat tak sampai sehari,tapi banyak aspek telah disentuh oleh Saudara Fahd.Hehe.Saya kira komentar Fahd sudah cukup,hanya memenuhi permintaan Rahim saya komen sikitlah ye.
Pada pandangan saya,penulis seorang yang banyak membaca dan mempunyai kosakata yang meluas.Saya pun tak banyak kosakata macam tu.Tahniah sekali lagi.Saya perlu banyak membaca lagi lepas ni.=)
Pandangan Fahd berkenaan sajak yang meleret,saya setuju.Saya kira,sajak Melayu yang pendek dapat juga dilihat keindahannya. Saya suka sajak A Samad Said yang pendek dan tidak meleret-leret tetapi seronok  membacanya.Saya kira,mungkin Rahim terpengaruh dengan syier Arab yang memang meleret-meleret. (dulu pun pernah ada orang menegur sajak saya yang meleret seperti syier Arab)
Tentang penggunaan rima dan huruf yang sama dibelakang,pendapat saya sendiri,saya tak suka terikat dengan huruf yang sama.Seolah- olah kita tercari-cari perkataan apa yang sesuai untuk menyamakan perkataan di hujungnya.Ini bukan syier lama arab (syier qadim) yang perlu disamakan ‘qafiah’nya.Syier baru arab (syier hadith) tidak terikat pada ‘qafiah’ yang sama.

Ok,itu saja apa yang dapat saya beri untuk pandangan saya.

Sanah Saiedah!

_____________________________________________________________

.

Jadi kesimpulannya adalah, penulis baru biasanya akan lakukan kesilapan   yang hampir sama. Antaranya adalah:

1. Suka sangat buat titik melebih-lebih tanpa tujuan.

2. Klise! Ini sangat kerap.

Klise ni adalah satu kekerapan struktur sama ada perlambangan, metafora, personifikasi dsb yang tidak lagi menjadi kejutan kepada pembaca. Boleh klik di sini untuk contoh.

.

Sekian, selamat membaca sastera. hahah

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: